Wajarkah kahwin pada usia muda?

PERKAHWINAN bukanlah seindah dongeng Cinderella seperti yang diimpikan oleh setiap insan. Dan ia juga bukanlah dongeng duyung yang berakhir dengan kesepian. Perkahwinan ialah penyatuan jiwa dan telolet kebahagian untuk insan yang berjiwa ikhlas dalam menerima.

Advertisement

Apabila berbicara tentang perkahwinan semua menganggapnya indah, namun sedarkah mereka dalam sesebuah perkahwinan ada turun naiknya. Perkahwinan pada usia muda sudah menjadi kebiasaan di negara kita. Perkahwinan pada usia muda banyak berlaku di kalangan orang Melayu sendiri berbanding dua etnik utama yang lain di negara ini. Agak menyedihkan apabila kajian yang sama mendapati keadaan itu wujud kerana pasangan dibelenggu nafsu semata mata.

Persoalannya, adakah berkahwin dalam peringkat usia yang masih muda atau dalam umur belasan tahun masa yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga? Adakah mereka sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga, suami dan isteri serta sebagai ibu bapa setelah dikurniakan cahaya mata?

Kurangnya ilmu pengurusan rumah tangga juga menjadikan perceraian di kalangan kaum Melayu lebih tinggi berbanding kaum lain di negara ini. Perkahwinan adalah sesuatu yang indah. Ibarat syurga di dunia jika bijak melayarinya. Tetapi ada yang kekal dalam perkahwinan dan ada yang bercerai. Malah yang paling mengejutkan ada yang baru berkahwin juga sudah bercerai. Apabila berlaku perkahwinan singkat atau berkahwin untuk beberapa hari, maka ramai yang menuding jari ke arah mereka yang berkahwin di usia muda. Ini kerana pada mereka golongan yang berkahwin pada usia muda tiada ilmu rumah tangga, tidak mempunyai kewangan yang kukuh, tidak sabar dan seumpanya. Bila bertengkar pasti bercerai. Benarkah situasi ini berlaku kepada semua pasangan yang berkahwin pada usia muda?
 
Terdapat banyak nas al-Quran dan al-Hadith Rasulullah SAW yang menerangkan tentang galakan dan suruhan Islam berhubung perkahwinan terhadap umatnya dengan menggariskan syarat-syarat yang teratur dalam menegakkan konsep perkahwinan Islam secara syumul, universal dan berhikmah. Antaranya, Firman Allah SWT dalam surah an nur ayat 32.

Ayat tersebut jelas menerangkan tentang  galakan berkahwin ke atas umat Islam. Ia menjelaskan juga bahawa kemiskinan bukanlah penghalang untuk berkahwin kerana keperluan kepada pasangan hidup adalah perlu selama mana keadaan jasmani seseorang itu berkemampuan..
    
Namun yang menjadi persoalan sekarang, masyarakat memandang serong dan ambil mudah dengan perkahwinan di usia muda. Ada yang mengatakan kahwin muda kerana menutup aib atas dasar keterlanjuran. Kita sepatutnya mengubah perspektif atau pandangan masyarakat yang serong terhadap perkahwinan di usia muda.

Sebenarnya mengikut anjuran Islam perkahwinan ini sangat mudah. Cuba kita nilai situasi berikut, seorang pemuda datang berjumpa dengan ayah si perempuan lalu menyatakan hasratnya untuk menjadikan si perempuan itu isterinya. Lalu ayah perempuan itu bertanya berapa yang kamu ada sekarang? Lalu dijawab oleh  pemuda itu saya ada RM100. Pak cik itu menjawab, baik simpan untuk maharnya, walimahnya sederhana sahaja, cukuplah sekadar meraikan hari bahagia dan hebahkan pada orang ramai. Subhanallah! senangnya ingin mendirikan masjid. Itulah sebenarnya anjuran Islam.
    
Dalam bab munakahat ini, Islam tidak meletakkan syarat yang membebankan umatnya. Apa yang penting adalah sunnah nikah itu, dan diri terpelihara daripada perkara yang merosakkan. Sekarang bagaimana situasinya? Nilailah situasi sekarang jika ingin mendirikan rumah tangga. Nilailah hantaran yang diminta kini, dengan dulang-dulang sebagai hantaran sedangkan pada agama cukup pada kemampuan membayar mas kahwin.

Mas kahwin itu ialah hadiah untuk wanita bukanlah syarat beg tangan beratus ratus pada harga serta perhiasan dan alat solek yang berjenama sebagai hadiah dalam kesempurnaan perkahwinan. Memang pada hakikatnya bukan semua ibu bapa beranggapan seperti itu. Alhamdulillah bagi ibu bapa yang menitikberatkan nilai sebuah perkahwinan ini sebagai asas agama, dengan tidak membebankan pasangan yang ingin berkahwin.

Sesungguhnya barakah itu pada mahar yang murah. Saya membuat penilaian tentang pemikiran kebanyakan orang tentang perkahwinan di usia muda, ramai yang mengatakan perkahwinan ini atas dasar nafsu semata mata. Betapa negatifnya fikiran sebegini sedangkan perkahwinan itu satu tuntutan dalam agama. Kebanyakkan ibu bapa akan berkata begitu pada anak anak mereka, tetapi andai mereka berada di tempat anak-anak, dengan persekitaran yang boleh menjerumuskan mereka ke lembah maksiat, nescaya mereka ini pasti akan ada keinginan untuk berkahwin di usia muda.

Melalui sistem perkahwinan, ia akan meningkatkan rasa tanggungjawab dan berusaha di kalangan kaum lelaki dan wanita. Sebagai contoh kaum lelaki akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kedudukan ekonomi mereka bagi tujuan memenuhi hak-hak orang yang berada dibawah tanggungan dan jagaannya.

Selain itu, seseorang yang berkahwin dapat bermujahadah dan melatih dirinya dengan menjalankan pentadbiran dan pengurusan, menjaga dan menjalankan tanggungjawab terhadap ahli keluarganya. Islam menggalakkan perkahwinan dan menyeru supaya berkahwin dengan penuh keimanan kepada Allah. Ini kerana selalunya perkahwinan itu sendiri akan memperbaiki keadaan yang sulit. Melalui perkahwinan, si suami akan bekerja bersungguh-sungguh memperbaiki kedudukan ekonomi, menghadapi cabaran dan tanggungjawab secara lebih telus dan si isteri pula membantu memelihara perbelanjaan keluarga.

Pada hakikatnya tiada masalah yang akan wujud sekiranya semua pasangan melakukan tanggungjawab masing masing dengan baik. Realitinya ibu bapa takut untuk mengahwinkan anak di usia muda kerana bimbang akan keadaan anak dari segi keperluan asas serta perbelanjaan masa hadapan. Saya ulaskan dengan lebih mendalam tentang masalah ini, Adakah apabila sah bergelar suami isteri maka bantuan memenuhi keperluan daripada ibu bapa itu tidak boleh diterima oleh anak anak? Tidak salah bukan?

Malah anak anak juga dengan kudrat mereka mampu bekerja bagi menampung keperluan hidup mereka walaupun bersederhana. Dalam mengharungi rumah tangga mereka di usia yang masih muda dan dalam status sebagai pelajar lagi, maka ibu bapa juga merupakan tempat dan perangsang bagi pasangan ini untuk menempuh hari-hari sebagai suami dan isteri.
     
Rumahtangga Islam dibina adalah berpaksikan ikatan perhubungan jiwa dan emosi yang suci serta luhur dan  tidak berpura-pura. Rumahtangga yang dibina hendaklah berasaskan ketaqwaan, pasangan suami isteri yang saling menghormati dan melindungi antara satu sama lain. Begitu juga pergaulan yang baik di antara suami isteri seterusnya akan melahirkan rasa tanggungjawab dan kebersamaan di dalam mengendalikan sesebuah rumahtangga. Perkahwinan menambahkan lagi kekuatan rohani, khusyuk dalam beribadah serta pengabadian diri kepada Allah SWT. Menerusi perkahwinan dapat mententeramkan perasaan berahi yang membara dalam jiwa manusia. Begitu juga dapat mendamaikan kerunsingan-kerunsingan jiwa kerana segala permasalahan hidup dapat dikongsi bersama dengan pasangan masing-masing. Sabda Rasulullah SAW:

           مُتَأَھِّلِ غَیرِ مِنْ رَكْعَةً سَبْعِینَ مِنْ خَیرٌ  مُتَأَھِّلِ   مِنْ  رَكْعَتَانِ

Maksudnya: “Dua rakaat sembahyang dari orang yang telah berumah tangga lebih baik daripada sembahyang orang yang masih belum berumahtangga.”
     
Pemilihan pasangan pada hakikatnya boleh menjadi salah satu pencetus masalah keruntuhan rumahtangga sekiranya ia tidak difahami dan tidak dilakukan dengan betul. Aspek tersebut dianggap penting dalam mewujudkan keserasian dan persefahaman setelah akad nikah dimeterai. Oleh sebab yang demikian, maka matlamat dalam pemilihan pasangan perlu difahami dengan tepat agar tidak mendatangkan mudarat kepada perkahwinan yang telah dimeterai, sama ada masyarakat menyokong atau menentang tentang isu kahwin muda ini. Apa yang perlu difahami adalah bahawa setiap individu mempunyai pandangan dan prinsip masing masing.

Kesimpulanya , berkahwin pada usia muda adalah terpuji. Namun pastikan kamu cukup bersedia untuk menempuh alam rumah tangga ini pada usia muda. Dapatkan restu kedua belah pihak dan kecapilah keindahan rumah tangga sebaik baiknya. – HARAKAHDAILY 19/4/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Islam Sains Malaysia