Sungai tercemar: Henti pembalakan, perlombongan di Pahang

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pahang menghentikan aktiviti pembalakan dan perlombongan di negeri ini bagi mengawal masalah pencemaran Sungai Pahang, Tasik Chini dan Tasik Mentiga di daerah Pekan yang semakin teruk terancam sekarang. Masalah yang berlarutan sejak lebih 20 tahun yang lalu itu bukan sahaja melibatkan kawasan tadahan air dan sumber bekalan tersebut untuk lebih 10,000 peneroka Felda Chini dan penduduk sekitarnya, tetapi juga kehidupan 900 orang Orang Asli di daerah berkenaan yang terjejas mata pencarian mereka.

Advertisement

Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati keadaan air sungai dan tasik di sini berlumpur dan berkelodak telah menyebabkan hidupan di dalamnya terancam dan rumpai air mati. Berikutan itu beberapa jenis ikan yang menjadi sumber pendapatan penduduk tempatan terutama masyarakat Orang Asli di lima buah kampung di daerah ini terancam pembiakannya dan semakin pupus.

Kehidupan masyarakat ini lebih meruncing apabila sumber pendapatan dari hasil hutan turut musnah akibat aktiviti pembalakan dan perlombongan itu. Antara kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Gumum, Kampung Melai, Kampung Tanjung Puput, Kampung Chenahan dan Kampung Ulu Gumum.

Antara punca-punca lain berkemungkinan menjadi penyumbang kepada masalah ini ialah pembinaan empangan yang menyekat pengaliran keluar masuk air Sungai Pahang ke Tasik Chini sehingga menjejaskan ekosistem tasik tersebut. Pembuangan sisa dari kilang kelapa sawit juga menyebabkan berbagai jenis tumbuhan di dalam Tasik Mentiga mati.

Masalah mendapan sisa lumpur dan sisa tumbuhan yang mati semakin ketara berlaku sehingga Sungai Pahang, Tasik Chini dan Tasik Mentiga menjadi cetek. Keadaan ini akan menyebabkan air sungai tersebut melimpah ketika hujan dan kedua-dua tasik ini gagal menampung pengaliran air yang datang dari kawasan hutan yang telah diteroka.

SAM kesal dan bimbang dengan masalah yang sedang berlaku ini walau pun sudah lama mengancam alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan tetapi tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan. Jika keadaan ini terus dibiarkan kejadian yang lebih buruk seperti banjir kilat dan kemarau berpanjangan mungkin melanda daerah dan negeri ini pada masa akan datang. SAM meminta kerajaan Pahang dan jabatan-jabatan yang terlibat mengambil tindakan segera bagi menangani ancaman pencemaran ini dan mendedahkan kepada umum apakah tindakan yang akan diambil.

SM MOHAMED IDRIS
Presiden Sahabat Alam Malaysia