Tahniah Anies Baswedan menang pilihan raya gabenor

Anies Sandi

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan syukur dan tahniah di atas kemenangan Anies Beswadan dalam Pilihanraya Gabenor DKI Jakarta semalam. Gandingan beliau dengan Sandiaga Uno berjaya mengalahkan penyandang sebelumnya, Basuki Cahya Purnama atau dikenali Ahok.

Advertisement

Pilihan raya kali ini mendapat perhatian umat Islam di Nusantara dan seluruh dunia, berikutan tindakan Ahok menghina al-Quran dan mendapat reaksi luar biasa umat Islam yang bangkit menentang melalui himpunan jutaan umat dan protes undi pilihan raya.

Kita bergembira dengan kemenangan ini atas nama kesatuan umat Islam. Islam mengajar cara bermasyarakat majmuk dalam negara berbilang kaum agama, warna kulit dan jantina, di mana wajib orang Islam tidak meruntuhkan binaan rumah ibadat orang bukan Islam, manakala orang bukan Islam juga wajib menghormati hak beragama orang Islam dan saling menjaga sensitiviti beragama.

Kita mendoakan dan menaruh harapan tinggi kepada Anies Beswadan dan Sandiaga Uno untuk berlaku adil kepada semua dengan menjaga hak bagi orang Islam dan bukan Islam. Konsep adil dalam Islam itu dekat dengan sifat taqwa.

Saya mengajak seluruh umat Islam untuk bersatu atas nama Islam, dan bekerjasama di atas nama kemanusiaan dalam masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama.

Ingatlah bahawa umat Islam akan kuat apabila berpegang dengan ajaran Islam, dan menjadi lemah apabila meninggalkan perintah Allah.

Pada masa yang sama, hak dan urusan ibadat orang Islam haruslah dihormati bertepatan dengan Islam sebagai Agama Persekutuan dan agama lain bebas diamalkan. Bersikap chauvinis dan politik perkauman sempit hanya mengundang suasana tidak harmoni dalam masyarakat dan perlu dihalang dari disuburkan.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 24 Rejab 1438H / 21 April 2017 M – HARAKAHDAILY 21/4/2017