Taraf PR Zakir Naik bukan bidang kuasa Menteri Kesihatan

SAYA menasihatkan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam supaya tidak sembarangan mengeluarkan kenyataan lebih-lebih lagi dalam hal yang ada kena-mengena dengan kepentingan Islam dan umat Islam di negara ini.

Advertisement

Dr Zakir Naik adalah seorang pendakwah dan penceramah yang diiktiraf kepakarannya dalam ilmu perbandingan agama dan sangat dihormati oleh para ulamak Islam dan umat Islam di seluruh dunia.

Sebagai seorang menteri juga sepatutnya Datuk Seri Dr S Subramaniam mengetahui dan memahami  tatacara yang diguna pakai bagi pemberian taraf pemastautin tetap kepada orang asing di negara ini.

Asasnya, seseorang itu mestilah mempunyai permit masuk yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dan memiliki pasport antarabangsa negara asal.

Taraf pemastautin tetap juga bukan hak kepada individu tetapi adalah satu anugerah oleh Kerajaan Malaysia kepada warga asing tersebut antaranya disebabkan oleh seseorang itu mempunyai kelulusan profesional atau kepakaran yang membolehkannya memberikan perkhidmatan profesional dan kepakarannya kepada negara ini tanpa menjejaskan kepentingan warganegara negara yang sedia ada.

Sudah pasti proses ini telah melibatkan pelbagai kementerian dan agensi seperti KDN, PDRM, JPN, Jabatan Imigresen dan lain-lainnya. Mengaitkan Dr Zakir Naik dengan keganasan dan pencetus ketegangan antara agama adalah suatu tuduhan dan semata-mata andaian yang bukan-bukan oleh Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Sebagai seorang yang menjawat Menteri Kesihatan, bukan bidang kuasa Datuk Seri Dr S Subramaniam untuk campur tangan dalam urusan ini.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
21 April 2017 | 24 Rejab 1438 – HARAKAHDAILY 21/4/2017