Beberapa persoalan menjelang keputusan ‘Kes Aisyah Lawan SOSMA’

SAYA merujuk kepada perbicaraan kes Siti Nur Aisyah Atam pada 18hb April 2017 lalu, bekas mahasiswa Sarjana Universiti Malaysia yang berdepan dengan tuduhan di bawah Akta SOSMA.

Advertisement

Mahkamah yang menghakimi, Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah Datuk Mohamad Shariff Abu Samad telah memaklumkan akan memberi keputusan pada 2 Mei 2017, lagi 12 hari.

Siti Aisyah asalnya ditahan pada tahun 2016 bila kerajaan mula mengumumkan organisasi terlibat keganasan militan Islam. Ia sebahagian dari operasi kerajaan menahan individu individu yang disyaki terlibat.

Beliau ditanh dan beberapa buah buku buku telah dirampas dan dijadikan bahan bukti, pelbagai bahan bacaan tentang jihad, syahid dan organisasi organisasi sepertinya yang dianggap ‘mujahidin’ atau pejuang agama.

Pasukan pembelaan Siti Aisyah telah berhujjah bahawa pemilikan buku itu tidak menjadi kesalahan ketika penahanan 2016 dilakukan kerana buku-buku itu tidak diwartakan haram oleh pihak kerajaan sendiri.

Ia boleh dijual beli secara terbuka dan bukan urus niaga pertukaran maklumat rahsia serta Aisyah membelinya atas minat beliau mengkaji sesuai status beliau seorang mahasiswa pengajian Islam yang mempunyai hasrat menjadi pendukung agamanya Islam.

Hakim menerima hujah ini, lalu Aishah dibebaskan oleh Hakim Datuk Mohamad Sharif Abu Samad.

Plotnya bertukar tiba-tiba apabila Aishah ditahan semula sebaik pembebasannya kerana pihak pendakwa berkata ada bukti baru dari pasukan pendakwaan dari pihak kerajaan.

Maka perbicaraan dibuka semula. Mahkamah Tinggi yang sama, kes yang sama, hakim yang sama, dan pada 11 April 2017 lalu barulah ‘bukti baru’ berkenaan ditunjukkan kepada mahkamah berupa satu laporan polis bertarikh tahun 2014 (2 tahun sebelum penahanan Aishah) yang pernah dibuat oleh bapa kepada Aishah, Pak Atam.

Semasa masa perbicaraan lebih banyak dihabiskan untuk menyemak keaslian laporan dan penandaan dan tak sempat dibincang apa kandungannya sehinggalah perbicaraan disambung lagi 18 April 2017 yang lalu.

Ceritanya, laporan itu dibuat Pak Atam pada tahun 2014 kerana bimbangkan Aishah yang mahu berkahwin dan mengikut seorang pemuda keluar negara untuk jadi seorang pejuang agama. Laporan dibuat seorang bapa kerana yang khuatirkan masa depan anaknya yang tidak disangka sangka dijadikan bahan bukti pula untuk mensabitkan kesalahan SOSMA ke atas anaknya pada hari ini.

Kes SOSMA Aisyah ini adalah ‘acid test’, ujian yang penting kepada kerajaan sama ada SOSMA ini akan dilihat berlaku adil atau zalim dengan mengulang persepsi zalim, drakonian yang sama ke atas Akta Keselamatan Dalam Negeri yang telah diganti dengan SOSMA ini.

Ia bakal menjadi ‘binding prescedent’, duluan mengikat bagi perjalanan kes kes akan datang.

Saya agak merasa pelik bagaimana penahanan Aisyah yang dibuat pada tahun 2016 setelah Kementerian Dalam Negeri baru mengeluarkan senarai individu dikehendaki (wanted) pada tahun 2016, mahu disabitkan kesalahan oleh satu laporan polis dibuat bapanya pada tahun 2014, dua tahun sebelum itu bertujuan menyelamatkan Aishah?

Tidakkah jika ‘preseden’ ini mahu dibuat ia boleh menyebabkan kesan ke belakang (retrospectif), bila adanya ancaman keganasan oleh pengganas ‘neo-marxist’ yang taksub agenda anarki dan komunis, yang buku bukunya ada dalam pemilikan begitu ramai pemuda dan veteran berfahaman sosialis pada hari ini?

Tahun-tahun awal Aisyah terpengaruh, masyarakat belum begitu terdedah kejahatan IS hinggalah beberapa tahun kemudian ekoran beberapa insiden yang jelas kegiatan ganasnya.

Ketika tahun 2014 Aisyah yang terpengaruh dengan idea jihad sudahkah tahu ia ancaman keselamatan kepada negara?

Hanya tahun 2016 baru KDN keluar senarai dan bertindak serta operasi penahanan dibuat. Aishah salah seorang yang ‘menjadi mangsa’.

Tidakkah boleh diandaikan Aisyah tidak tahu dia buat salah? Dia cuma secara suci hati mahu menjadi seorang muslimat yang mulia yang menyertai perjuangan suci mengikut gambaran apa yang diberi kepadanya ketika itu tanpa tahu ia adalah salah?

Ianya pada tahun 2014, dua tahun selepas itu, rupa-rupanya KDN mahu haramkan pada tahun 2016, menjadi ancaman keselamatan negara.

Apa jadi jika tiba-tiba dua tahun dari sekarang, kumpulan marxist, sosialis luar negara mula menjadi anarchist, pengganas, militan sehingga KDN haramkan dan buat operasi menangkap semua yang ada hubungan dengan mereka.

Adakah kalangan pencinta marxist, lenin, sosialis yang punya pelbagai bahan dan bukti keterlibatan dan pengaruh yang besar dalam hidup mereka seperti buku buku, cenderahati, pada tarikh hari ini, akan jadi buruan kerajaan juga pada masa akan datang?

Semua ini akan rakyat perhatikan.

Pertimbangan mahkamah dari segi keadilan semula jadi akan amat diperhatikan secara kritis oleh segenap lapisan rakyat.

Semoga kes ini memberi kemenangan kepada semua dengan keadilan ditegakkan. – HARAKAHDAILY 23/4/2017