Bina hidup keluarga dengan Islam

PAS menyeru masyarakat agar dapat membina kehidupan berkeluarga dengan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar sesama penduduk kampung.

Advertisement

Ketua Penerangan PAS Dungun, Alias Harun berharap orang kampung terutamanya mesti beramal dengan keluhuran Islam yang sebenar kerana tiada agama yang lebih tinggi daripada Islam.

“Saya suka menyeru kepada semua yang hadir agar kita peliharalah solat lima waktu yang menjadi asas kepada rukun Islam.

“Seandainya kita dapat menjaga solat insya Allah keberkatan akan ada dalam kehidupan terutamanya dalam memelihara kerukunan rumahtangga dan masyarakat terutamanya.

“Dalam usaha memartabatkan Islam di Malaysia ini, PAS sebagai sebuah parti bukan sahaja parti politik malahan ia adalah sebuah badan dakwah yang sentiasa mengambil tanggungjawab bagi memberi kefahaman kepada masyarakat berkaitan Islam yang syumul,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika menutup program Pertandingan Memancing di UPU Tok Kah yang diadakan sempena OPS HARAP 3.0 PRU14 dengan kerjasama Pemuda PAS Dun Rantau Abang dan Unit Peti Undi (UPU) Tok Kah, kelmarin.

Hampir 200 peserta dari pelbagai peringkat umur telah memeriahkan pertandingan memancing itu yang bermula jam 8.30 pagi dan berakhir 11.30 pagi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Abang menyeru semua pihak agar sentiasa membuat pertimbangan pahala dan dosa bagi menjaga nilai murni agama Islam itu sendiri.