Imarahkan masjid kita

Masjid merupakan rumah Allah yang mana menjadi tempat umat Islam beribadah. Masjid juga menjadi simbol penyatuan umat Islam apabila mereka menghadirkan diri untuk beribadah secara berjemaah. Masjid memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan masyarakat Islam bagi memacu mereka ke arah kemajuan.

Advertisement

Pada zaman Rasulullah SAW, masjid menjadi tempat menunaikan ibadah dan juga tempat pengajian al-Quran. Hal ini membuktikan masjid mempunyai kedudukan yang tinggi bagi umat Islam pada zaman itu. Namun, masyarakat pada zaman kini semakin sibuk dengan urusan dunia lalu tanggungjawab mengimarahkan masjid kian dilupakan.

Pergi ke masjid dari usia muda

Saban tahun, kita dapat melihat masjid hanya penuh dikunjungi para jemaah semasa bulan Ramadhan. Tamat bulan Ramadhan, maka masjid tidak lagi menjadi tumpuan umat Islam. Lazimnya, masjid hanya dipenuhi golongan warga emas yang berusia 50 tahun ke atas. Seharusnya, sifat mengimarahkan masjid harus dipupuk dari awal usia walau sesibuk mana pun kita dengan komitmen di luar.

Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat ke-18 yang bermaksud: “Hanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”

Tambah iman dan taqwa

Maka, apabila kita mengimarahkan masjid, ia dapat menambahkan keimanan dan ketaqwaan dalam diri kita. Mengimarahkan masjid bermaksud menghadirkan diri ke masjid dan menunaikan ibadah-ibadah yang bermanfaat bagi diri sendiri dan juga masyarakat. Antaranya, mendirikan solat secara berjemaah, mengadakan majlis ilmu, tadabbur al-Quran dan ibadah lain juga.

Kesatuan Umat Islam

Kepentingan dunia boleh memecah-belahkan umat manusia kerana mereka hanya sibuk dengan urusan mereka sendiri sahaja dan tidak menghiraukan masyarakat sekeliling. Hal ini juga boleh mencetuskan perasaan hasad sesama mereka.

Maka, pertemuan semasa menunaikan ibadah seperti solat berjemaah boleh mengeratkan silaturrahim sesama saudara Muslim dan mendamaikan permusuhan sekiranya niat untuk hadir ke masjid itu ikhlas dan bukan untuk menunjuk-nunjuk banyaknya ibadah yang dilakukan. Sesungguhnya tiada tempat yang lebih baik untuk menyatukan umat Islam melainkan di dalam masjid.

Secara tuntasnya, tanggungjawab mengimarahkan masjid merupakan peranan umat Islam bersama. Kita hendaklah menjaga dan mengimarahkan masjid demi kemaslahatan ummah.

Setiap individu Muslim haruslah mengambil bahagian dalam memastikan masjid terus menjadi pusat tumpuan umat Islam untuk beribadah dan menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan agama. Tanamlah niat untuk menghadirkan diri ke masjid setiap hari dan bukan hanya terhad pada bulan Ramadhan sahaja. – HARAKAHDAILY 24/4/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.