Jiran sepakat membawa berkat

ISLAM sebagai cara hidup memberi fokus kepada setiap perkara yang membabitkan keperluan umatnya termasuk adab hidup berjiran kerana selain keluarga, seseorang mukmin diingatkan supaya menjaga serta memelihara hubungan sesama jiran tetangga.

Advertisement

Semangat kejiranan dalam masyarakat secara umumnya dilihat masih kental. Namun, tidak dinafikan wujud persekitaran di mana sikap tidak mengambil kisah mengenai kebajikan jiran sekeliling semakin ketara.

Jiran merupakan tetangga atau jiran tetangga yang tinggal sebelah menyebelah dan berdekatan dengan kediaman kita. Jiran juga bukan sekadar yang tinggal di sebelah kedua- dua rumah kita, tetapi orang yang tinggal berdekatan dengan rumah kita sama ada di kanan, kiri, depan, belakang, tingkat atas, tingkat bawah hingga 40 buah rumah dari setiap sudut. Sejak zaman berzaman manusia secara fitrah hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang saling memerlukan dalam menjalani kehidupan.

Hidup berjiran juga merupakan amalan mulia serta memberi manfaat kepada manusia. Dalam hidup berjiran mestilah saling mengenali antara satu sama lain dan berbuat baik sesama mereka. Hakikatnya Allah SWT. sendiri memerintahkan umat Islam supaya saling berbuat baik dengan jiran tetangga.

Justeru, masyarakat perlu menghayati tentang suruhan agama supaya memelihara hubungan kejiranan sebagai satu cara ke arah perpaduan ummah. Tambahan pula, mana- mana kawasan perumahan kebanyakannya dihuni penduduk pelbagai bangsa.

Nabi SAW telah menyatakan dalam hadisnya bahawa Jiran tetangga mempunyai tiga kategori iaitu:

Jiran muslim yang ada hubungan kekeluargaan baginya, maka dia mempunyai tiga hak iaitu sebagai jiran, keluarga (kerabat) dan seorang Muslim.

Jiran Muslim yang mempunyai dua hak, iaitu sebagai hak jiran dan hak seorang Muslim.

Jiran bukan Islam, yang mempunyai satu hak iaitu sebagai hak jiran.

Di dalam hadis Nabi SAW juga banyak yang memberi penekanan kepada jiran, di antara hadis baginda yang bermaksud: “Sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia menghormati tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan hendaklah ia diam.” (Hadis riwayat Muslim)

Begitulah tingginya kedudukan jiran dari sudut pandangan islam. Maka Islam menganjurkan adab- adab yang baik dalam kehidupan berjiran iaitu:

1) Sentiasa mewujudkan suasana kemesraan melalui usaha kenal-mengenal dan hormat- menghormati antara satu sama lain.

Memulakan salam dan senyuman jika bertemu sesama Muslim atau ucapan penghormatan yang baik jika bertemu dengan bukan Muslim. Hendaklah sentiasa bertoleransi yang melibatkan urusan keagamaan, adat resam, budaya, cara hidup dan lain-lain lagi.

2) Tidak menyakiti mereka sama ada melalui perkataan, perbuatan atau sekadar bersangka buruk.

Jiran yang tidak berakhlak sesama jiran seperti menganiaya, mengumpat, sehingga tergamak melakukan kejahatan dan kedurjanaan sehingga menimbulkan ketakutan dan kegerunan kepada insan lain.

Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “ Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman.
Sahabat bertanya:
“Siapakah (yang tidak beriman itu) ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW menjawab:
 “Orang yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga, barangsiapa yang jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Riwayat Muslim)

3) Tidak membina bangunan yang tinggi sehingga menutup laluan angin ke dalam rumahnya.

Jangan menyusahkan mereka, seperti meletakkan sesuatu yang boleh menghalang laluan ke rumah mereka kecuali setelah mendapat restu dan izin daripadanya.

Sepertimana yang disebut dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Demi Allah, sesungguhnya mereka yang membuatkan jiran tetangga tidak selesa dan tidak aman dengan gangguan yang mereka lakukan, mereka itu adalah orang yang tidak sempurna imannya. (riwayat Muslim no. 46)

4) Sentiasa berusaha mewujudkan suasana aman, damai, tenteram, sejahtera dan ceria dalam kehidupan berjiran. Faktor inilah juga yang menyebabkan Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara rukun-rukun kebahagiaan ialah ‘jiran yang baik’.

Dengan ini, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan dalam kehidupan. Oleh itu, marilah sama-sama kita mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama jiran dan mengamalkan apa yang di sabdakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis serta jauhi diri kita dari menyakiti jiran tetangga secara sengaja atau tidak sengaja. – HARAKAHDAILY 24/4/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.