Kelantan bantu usahawan berdikari

MENGAMBIL kira minat rakyat Kelantan dalam bidang perniagaan, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai skim bagi membantu mereka.

Advertisement

Antaranya program Usahawan Berdikari yang menggabungkan lima program pembangunan usahawan iaitu Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan, Galakan Usahawan, Skim Bina Usahawan, Program Pembangunan Kemahiran Usahawan dan Galakan Perdagangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kerajaan negeri mengutamakan pembangunan usahawan rakyat.

Katanya sebanyak RM6.05 juta diperuntuk dalam bajet 2017 yang meliputi pelbagai program pembangunan keusahawanan.

“Manakala sebanyak RM2.5 juta diperuntuk di bawah program Usahawan Berdikari. Selain itu RM2.5 juta lagi bagi membina serta membaiki pasar dan gerai di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya di sini.  

Che Abdullah juga berkata kerajaan negeri menerusi anak syarikatnya, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) turut terlibat membantu usahawan.

Antaranya memperkasakan usahawan Bumiputera terutamanya dalam bidang pembuatan serta pengeluaran produk halal.

“Kerajaan negeri juga telah membaik pulih Medan Usahawan yang terletak berhampiran Stadium Muhammad ke IV,” katanya.

Menurutnya juga bidang perniagaan dan usahawan sekarang lebih kompleks di mana berhadapan dengan pelbagai cabaran dan risiko.

“Jika cabaran dapat diatasi dengan baik, maka ia merupakan satu kejayaan. Antara cabarannya kekurangan kemahiran dan seni komunikasi.

“Perkara-perkara sebegini perlu juga diberi penekanan dalam usaha membangunkan usahawan yang kreatif,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 25/4/2017