PAS sokong mansuh dasar kabotaj untuk Sarawak

KABOTAJ adalah pengangkutan barangan atau penumpang antara dua titik dalam negara yang sama. Asalnya bermula dengan perkapalan, kabotaj kini juga meliputi penerbangan, kereta api dan pengangkutan jalan. Kabotaj adalah “perdagangan atau pelayaran di perairan pantai, atau, hak eksklusif negara untuk menguruskan trafik udara di wilayah itu. Dari segi politik, kabotaj adalah untuk mengawal had perdagangan dengan syarikat tempatan dikenali sebagai perlindungan. Asas bagi peraturan kabotaj termasuk keselamatan negara dan keperluan untuk melindungi keselamatan awam.

Advertisement

Menurut Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Abang Haji Openg setiap barang yang kita import perlu melalui Pelabuhan Klang. Pada masa lalu, mungkin ia boleh diterima kerana terdapat kekurangan volum tetapi sekarang, kami telah mewujudkan perdagangan antarabangsa.

Jadi ia adalah masa untuk menghapuskan kabotaj supaya kapal-kapal dari luar negara boleh datang terus ke Sarawak.

PAS menyokong penuh saranan Ketua Menteri Sarawak agar Sarawak diberi kebebasan untuk mengimpot barangan dari luar tanpa perlu melalui Pelabuhan Klang. Jarak perjalanan dan untuk kapal dagang dari luar berurusan dengan Pelabuhan Klang menyebabkan barang dari China dan Jepun menjadi lebih mahal.

Kos pengangkutan untuk berulang-alik untuk sampai ke pelabuhan yang terdapat di Sarawak menjadi mahal disebabkan terpaksa melalui Pelabuhan Klang.

Dari dulu lagi kita pernah sarankan pemansuhan dasar kabotaj di Sarawak kerana ianya boleh mengurangkan kos harga barangan untuk rakyat Sarawak. Dengan pemansuhan dasar kabotaj ini sekurang-kurangnya harga barangan di Sarawak akan setanding atau kurang dari harga barangan dari Semenanjung Malaysia.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin gawat dan tidak stabil ini maka seharusnya kerajaan persekutuan memansuhkan dasar kabotaj untuk Sarawak dan Sarawak berhak mendapatkan kuasa autonomi bagi memudahkan urusan perdagangan di peringkat antarabangsa.

Mungkin ini adalah salah satu cara untuk mengurangkan beban pengguna yang terpaksa bayar lebih harga barangan dari luar negara. Kita menggesa kerajaan persekutuan dapat menilai sendiri pemintaan kerajaan Sarawak ini kerana ianya melibatkan pengguna serta keperluan rakyat tempatan.

Pemansuhan dasar kabotaj juga boleh merangsangkan lagi pembangunan dan meringankan kos pelan pembangunan infrastruktur asas di negeri ini seperti bahan-bahan binaan yang murah dan pengguna juga boleh membeli barangan keperluan dengan harga yang berpatutan. Kerajaan juga perlu memantau harga barangan keperluan agar ianya tidak dijual dengan harga yang terlampau tinggi sehingga membebankan pengguna.

Mudah-mudahan hasrat kerajaan dan rakyat Sarawak untuk melihat pemansuhan dasar kabotaj oleh kerajaan persekutuan menjadi kenyataan dan boleh meringankan beban harga kos barangan keperluan asas di Sarawak. Sarawak tidak memerlukan dasar kabotaj kerana ia tidak adil bagi negeri ini. – HARAKAHDAILY 26/4/2017

Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS Sarawak