Mara Menuju Cita

UCAPTAMA Ketua Pemuda  Dewan Pemuda Pas Malaysia Muktamar Tahunan DPPM Kali Ke-58 1438H / 2017M
 
1. MUQADDIMAH
 
1.1. Tahmid & Aluan

Advertisement

Yang Berbahagia Tuan Pengerusi Tetap; Yang Dihormati Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS selaku Perasmi Muktamar DPPM Kali Ke-58; Yang Dihormati Seluruh Ahli Majlis Syura Ulama dan Pimpinan PAS Pusat; Yang Dikasihi Timbalan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda DPPM; Yang Berusaha Setiausaha DPPM merangkap Pengarah Panitia Muktamar; Ahli – Ahli Jawatankuasa Harian DPPM; Ahli – Ahli Jawatankuasa Kerja dan Pengarah Jabatan DPPM; Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Kawasan dan Ahli Jawatankuasa; Pimpinan dan rakan – rakan DHPP; Para Dif Kehormat dan Tetamu Jemputan; Sidang Perwakilan dan Pemerhati yang dikasihi sekalian.
 
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dengan penuh rasa ukhuwwah ingin mengucapkan Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum, selamat datang dan selamat bermuktamar, kepada semua para perwakilan, pemerhati dan tetamu yang memeriahkan Muktamar Tahunan DPPM kali ke-58 yang bertandang di Negeri Kedah Darul Aman, negeri Jelapang Padi.
 
Cedok air dengan baldi, Cedok nasi dengan senduk; Baik dibawa resmi padi, Semakin berisi semakin ia tunduk.
 
Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh ahli dan kepimpinan Pemuda PAS, merakamkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang, di atas kejayaan membentangkan RUU Persendirian bagi meminda Akta 355 pada 6 April 2017 di Dewan Rakyat. Sesungguhnya langkah penuh tertib yang diambil menyerlahkan kesungguhan PAS dalam membawa Obor Mendaulatkan Islam dengan penuh berhikmah, dan wajar diteladani oleh kami Pemuda PAS untuk menjadi benteng dalam memelihara kesucian agama Islam.

1.2. Tema Muktamar
 
Firman Allah SWT:

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam”.
 
Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.
 
Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.
 
Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.  
 
(Fussilat: 33-36)
 
Tema “MARA MENUJU CITA” diangkat dalam Muktamar Tahunan DPPM Kali Ke-58 ini bagi menegaskan betapa pentingnya Pemuda PAS terus mara menerajui agenda Penyelesaian Islam, dengan melebarkan Khidmat Bakti dan menjayakan misi Perpaduan Ummah, sebagaimana yang sering diungkapkan di dalam lagu rasmi PAS, iaitu;
 
Bergeraklah ke gerbang jasa, Kalah menang bukan alasannya; Sucikanlah niat dihati, Hingga nyata benarnya janji Rabbi.
 
Di samping itu, pemilihan logo Muktamar DPPM kali ke-58 yang berbentuk ‘Padi’ adalah simbolik kepada kegigihan dan keazaman yang tinggi di sebalik jelapang padi yang membuahkan hasil, agar setiap Pemuda PAS meningkatkan iltizam untuk terus menabur bakti demi mencapai cita-cita dan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

2. BERGERAKLAH KE GERBANG JASA  
 
Firman Allah SWT:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali-Imran: 104)
 
2.1. Tuntutan Amal Islami dan Amal Jamaie merupakan kerja-kerja kebaikan dan taqwa yang paling penting, dan sangat diperlukan di masa kini. Malah, ia merupakan teras kepada usaha yang diambil oleh PAS, sebagaimana yang terkandung di dalam bahagian Muqaddimah1 kepada Perlembagaan PAS.  
 
2.2. Tugas yang amat berat ini hendaklah digerakkan secara kolektif (Jamaie) dan berkualiti (Itqan), terbina di atas perancangan yang sempurna sehingga membuahkan hasil dan mencapai matlamatnya. Justeru antara elemen penting yang perlu diberi penekanan oleh Pemuda PAS sebagai Abna’ul Harakah adalah:
 
i. Organisasi Tersusun Rapi – Sistem urus tadbir organisasi perlu terus diperkemaskan supaya lebih efisyen. Selain sistem KPI dan Scorecard yang semakin diamalkan di peringkat DPP Kawasan, beberapa aspek pengurusan organisasi wajar diberi nilai tambah, antaranya dalam aspek daftar keahlian, pengurusan sumber manusia, kualiti mesyuarat, aturan kerja (SOP), manual serahan tugas dan sebagainya.   
 
Begitulah juga dalam aspek pengurusan kewangan, yang menuntut kepada pencarian dana dan infaq secara mampan, seterusnya disalurkan dengan cermat bagi menjayakan program yang berimpak tinggi.
 
ii. Khidmat Bakti Disanjungi – Menyarung baju Amal merupakan suatu penghormatan kepada Pemuda PAS. Selain khidmat kebajikan dan kemasyarakatan, fungsi AMAL kini diperluas sebagai pasukan penyelamat dan perubatan, dan semakin diiktiraf oleh pihak kerajaan dan masyarakat awam. Pemuda PAS juga mestilah menjadikan aktiviti kebajikan sebagai jambatan untuk menyantuni rakyat marhaen, golongan gelandangan dan peneroka Felda, agar khidmat bakti dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
                                                          
iii. Pendidikan Dilestari – Sekalung penghargaan kepada para guru PASTI yang gigih melahirkan tunas perjuangan dengan penuh dedikasi. Selain pemantapan silibus dan kualiti pengajaran, kebajikan guru dan keselesaan premis PASTI perlu terus diberi perhatian kita bersama. Di samping itu, tahniah diucapkan kepada penggerak SRITI yang berjaya melepasi sasaran penubuhan 50 buah SRITI baru pada tahun 2017. Perjalanan SRITI yang masih jauh ini pastinya menuntut pengorbanan dan sokongan semua pihak, khususnya dalam aspek dana, waqaf, prasarana, silibus, serta kebajikan guru dan murid.
 
iv. Anak Muda Disantuni – Pemuda PAS perlu terjun ke lapangan untuk kita santuni generasi muda negara. Lajnah Penerangan, Dakwah, Perpaduan Nasional, Alam Sekitar, JPro dan terutamanya DACS2 perlu terus kreatif dalam meneroka dimensi baru untuk ‘bergelumang’ dalam ruang sosial dan minat anak muda dengan membawa mesej Islam, seterusnya diterjemahkan dalam bentuk sokongan undi kepada PAS.   
 
3. KALAH MENANG BUKAN ALASANNYA
 
Firman Allah SWT:

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya” (Al-Anfal: 60)
 
3.1. Para Pemuda PAS perlu diingatkan betapa pentingnya kebergantungan kepada Allah dan meyakini bahawa kemenangan hanya datang dengan pertolongan Allah3, sebagaimana yang diungkapkan di dalam Al-Quran dengan menggunakan beberapa istilah seperti Al-Falah, Al-Fawz, An-Nasr dan Al-Fath. Antara agenda yang perlu diberi fokus oleh Pemuda PAS sebagai Ansorullah adalah:
 
i. Tarbiah Didahulukan – Pentarbiahan kepada pimpinan dan ahli adalah elemen asasi. Pemuda PAS perlu meneruskan kelangsungan program tarbiyah seperti Usrah, Tamrin, Liqa Fikri, dan Ijtima’ Tarbawi di semua peringkat, seterusnya memberi nilai tambah dalam aspek silibus, kompetensi nuqaba’, dan sistem pemantauan.  
                                                          
Selain itu, proses pembentukan fikrah perlu berjalan secara sistematik bagi melahirkan pewaris kepimpinan di kalangan anak-anak ahli PAS (PROTAPAS), remaja (AKAR) dan mahasiswa (JIK), melalui modul yang telah disusun oleh para murabbi terdahulu.
 
ii. Kompetensi Ditingkatkan – Daya kepimpinan menjadi penentu jatuh bangun sesebuah organisasi. Potensi yang tinggi di kalangan ulama’ pelapis dan professional muda perlu digilap melalui ketinggian idealisma, pencapaian akademik dan profesionalisma, seterusnya menjadi barisan hadapan dalam usaha mempersada idea Kerajaan Teknokrat4 yang digagaskan oleh Presiden PAS.
 
iii. Kemenangan Islam Diutamakan – Dalam tempoh kritikal menjelang PRU14, seluruh Pemuda PAS perlu memastikan jentera pilihanraya Pemuda (JPRU, JPRD, JPRK) telah beroperasi sepenuhnya, lengkap dengan data culaan, analisa pengundi, buku isu dan plan tindakan yang dipantau oleh pihak Negeri dan Pusat.  
 
Kita berkeyakinan dengan berkat usaha dan pertolongan Allah, Pemuda PAS mampu merealisasikan hasrat Presiden PAS untuk memenangi minima 40 kerusi Parlimen dan mentadbir 5 buah negeri; dengan komitmen Pemuda PAS untuk meletakkan lebih ramai calon muda dan  menguasai 60% undi anak muda di setiap kerusi yang ditandingi.  
 
Cukuplah untuk saya gambarkan di sini, andai ditakdirkan pindaan Akta 355 diluluskan di Parlimen5, dan PAS berjaya mentadbir minima 5 buah negeri pada PRU14. Kita sebenarnya mempunyai kuasa untuk meminda enakmen undang-undang Syariah di peringkat negeri, di samping mensejahterakan rakyat dengan pelbagai dasar Sosio-Ekonomi Berkebajikan menurut acuan Islam. Ini pastinya memberi kita peluang untuk menyerlahkan keindahan Islam yang belum pernah dilihat di bumi Malaysia yang bertuah ini, insyaAllah.  
 
Saya lontarkan pengharapan ini kepada seluruh Ketua Pemuda Negeri dengan satu persoalan, “Adakah negeri aku termasuk di dalam lima buah negeri yang bertuah itu?”
 
Kita meletakkan keyakinan bahawa negeri tuan rumah, Kedah Darul Aman, pastinya termasuk di dalam negeri bertuah itu, dan insyaAllah akan kembali ditadbir oleh PAS dalam PRU14 ini.
 
4. SUCIKANLAH NIAT DI HATI
 
Firman Allah SWT:

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (Al-Kahfi: 28)
 
4.1. Berpegang dengan aqidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama bagi seseorang yang mengaku dirinya beragama Islam6. Malah, Islam meletakkan aqidah sebagai asas perjuangan dan menjadi pembeza dengan perjuangan berdasarkan ideologi ciptaan manusia, mahupun perjuangan di atas sentimen isu. Justeru antara perkara yang perlu diberi penumpuan oleh Pemuda PAS dalam aspek teras ini adalah:
 
i. Dasar & Kepimpinan Dirahmati – Telah nyata termaktub dalam Perlembagaan PAS bahawa hukum tertinggi dalam perlembagaan PAS ialah Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ Ulama’ dan Qiyas. Inilah dasar yang wajib dipertahankan seluruh Pemuda PAS, seterusnya dipersadakan melalui pembudayaan ilmu di kalangan pimpinan dan ahli.
 
Di kesempatan ini, ingin saya sebutkan bersempena dengan Agenda Pemilihan dalam Muktamar kita pada tahun ini. Saya berkeyakinan tinggi dengan kebijaksanaan para perwakilan untuk melantik pemimpin yang terbaik di kalangan kita, khususnya di kalangan mereka yang memiliki kekuatan Aqidah, Ilmu, Akhlaq dan Pengaruh untuk mengemudi bahtera Pemuda PAS.  
 
Inilah keunikan kaedah Syura yang diamalkan kita, dan Syura inilah yang akan melindungi dasar dan kepimpinan PAS.    
 
ii. Perpaduan Ummah Dijadikan Misi – Usaha untuk menyatukan umat manusia mahupun umat Islam keseluruhannya adalah suatu yang amat sukar. Namun Islam menyeru umatnya agar bersatu dan hidup bersaudara di atas dasar Tauhid yang mulia8, sebagaimana ditegaskan oleh Allah SWT.

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Al-Hujurat: 10)
 
Paksi perpaduan yang diperjuangkan PAS adalah Islam, bukan kebangsaan. Islam yang dipegang mesti bebas diamalkan, kuasa kepimpinan Islam dipertahankan, dan kewujudan masyarakat majmuk perlu dimanfaatkan. Negara dan umat Islam perlu diselamatkan daripada Bahaya Yang Dirasai dan Bahaya Menanti, melalui pendekatan dialog, muzakarah dan persetujuan untuk bekerjasama ke arah matlamat yang sama.  
 
Justeru saya menyeru agar PRU14 ini dijadikan medan kepada Pemuda PAS untuk Melebarkan Muafakat dan berperanan sebagai Duta Perpaduan Ummah, dengan membawa mesej “Islam Didahulukan, Kita Bersamanya”. Himpunan 355 menjadi contoh bahawa agenda besar ini mampu dijayakan9, apabila semua pihak yang cintakan Islam dapat duduk bersama tanpa mengira fahaman politik, demi menjayakan cita-cita dan matlamat yang sama.
 
Firman Allah SWT:

“Dan manusia itu pada asalnya hanya satu ummah, lalu mereka berselisihan; dan kalau tiadalah perkataan dari Tuhanmu, nescaya diputuskan perkara dalam hal yang mereka perselisihkan.” (Yunus: 19)
 
5. HINGGA NYATA BENARNYA JANJI RABBI
 
Firman Allah SWT:

“Dan (ada lagi) kurniaan lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang hampir; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang beriman.” (As-Saf: 13)
 
5.1. Al-Quds & Keamanan Dunia  
 
Pembebasan bumi Al-Quds adalah perjuangan yang tidak bernoktah. Justeru segala saluran diplomasi dan misi kemanusiaan akan terus dimanfaatkan oleh Pemuda PAS ke arah kemenangan dan pembebasan bumi Palestin yang tercinta (#WaQudsah), di samping penyelesaian krisis Syria dan Bumi Arab.
 
Pemuda PAS juga berperanan untuk mewujudkan keamanan serantau, khususnya dalam kemelut di Rohingya dan pertindihan tuntutan laut China Selatan, dengan menjalin kerjasama dengan gerakan pemuda Islam di negara ASEAN dan menghalang campurtangan asing yang ingin merosakkan kesejahteraan ummat di rumpun ini.
 
5.2. Mempersada Wawasan Induk Negara Sejahtera
 
Pemuda PAS berperanan besar bagi merealisasikan aspirasi yang terkandung di dalam Wawasan Induk Negara Sejahtera (#WINS), melalui anjakan budaya politik negara yang lebih matang dan sejahtera (#BPMS). Agenda mencorak kemenangan yang boleh dibahagikan kepada aspek penambahbaikan dan penyusunan-semula ini, pastinya menuntut kepada komitmen dan kepakaran di kalangan ulama’ pelapis dan profesional muda, mengikut acuan (Sibghah) yang telah ditetapkan oleh Islam.  
 
Dalam hal ini, Kelantan wajar dijadikan model dalam pelaksanaan dasar ‘Membangun Bersama Islam’, dengan pelbagai program yang membawa kesejahteraan dan kebajikan kepada rakyat dan anak muda.
 
5.3. Agenda Anak Muda Sejahtera
 
Pemuda PAS selayaknya menginsafi kewajipan melaksanakan tuntutan pembinaan negara (nation building) yang lebih sejahtera. Secara ringkasnya, Malaysia kini berhadapan dengan empat krisis utama, iaitu:
 
i. Krisis Keyakinan / Gejala Rasuah – Beberapa kes rasuah berprofil tinggi sedang disiasat oleh SPRM, melibatkan nilai rasuah mencecah ratusan juta ringgit. Ditambah pula dengan kegagalan Kerajaan menangani skandal korporat seperti 1MDB, FGV, MARA dan Tabung Haji, menyebabkan jurang defisit keyakinan semakin melebar di kalangan rakyat.

ii. Kelembapan Ekonomi / Kos Sara Hidup – Rakyat berhadapan dengan situasi ekonomi yang sangat mencabar, kesan kenaikan inflasi dan cukai yang perlu dibayar. Subsidi minyak dan keperluan asas lain telah mula dihapuskan, menjadikan rakyat lali dengan turun naik harga di pasaran, ditambah pula dengan mahalnya harga kereta dan rumah untuk dimiliki.
 
iii. Gejala Sosial / Kualiti Pendidikan – Statistik berkenaan gejala sosial di kalangan belia negara amat membimbangkan, khususnya dalam kes penyalahgunaan dadah, buang bayi, disiplin pelajar, di samping kes perceraian dan bunuh diri yang kian meningkat. Manakala pencapaian pelajar sekolah dan graduan IPTA tidak menunjukkan peningkatan yang diidamkan bagi mencapai status negara maju menjelang 2020.
 
iv. Ancaman Kedaulatan / Amerika vs China – Semakin banyak projek mega dan strategik diserahkan kepada syarikat China, mendedahkan Malaysia kepada risiko pertembungan geopolitik di antara China dan Amerika pasca-Trump yang telah menarik diri daripada TPPA.
 
Justeru, sebagai kerangka asas terhadap penyelesaian krisis yang melanda negara, beberapa langkah Islah berikut wajar diambil, termasuklah Pembaharuan Perlembagaan dengan agenda pemerkasaan Islam Agama Rasmi Persekutuan, di samping Kebebasan Institusi, Pembaharuan Ekonomi, Pembaharuan Pilihan Raya, Perpaduan Nasional, dan Hubungan Antarabangsa.
 
Di samping itu, sebagai menyahut hasrat anak muda Malaysia yang mendambakan sebuah kehidupan yang lebih sejahtera, Pemuda PAS meletakkan 7 Agenda Anak Muda Sejahtera berikut sebagai asas pembentukan tawaran Manifesto PAS yang akan dilancarkan menjelang PRU14, iaitu:
 
i. Pendapatan Boleh Guna – Memberi Lebih Ringgit Kepada Poket Anda ii. Keupayaan Sara Hidup – Membebaskan Anda Daripada Kesempitan Hidup iii. Pendidikan Berkebajikan – Meningkatkan Kualiti Hidup Melalui Pendidikan Insani iv. Keusahawanan Belia – Membantu Membina Kerjaya Dan Pendapatan Sendiri v. Rumah Mampu Milik – Memiliki Rumah Idaman Sebagai Tempat Berteduh vi. Capaian Pengangkutan – Mobiliti Dalam Dunia Serba Pantas vii. Kesejahteraan Hidup – Menjamin Kesihatan Dan Keselamatan Yang Tersayang

6. PENUTUP
 
Firman Allah SWT:

“Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita; dan benarlah Allah dan Rasul-Nya; dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.” (Al-Ahzab: 22)
 
6.1. Marilah kita mengambil iktibar daripada ketinggian iman dan keyakinan Baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya, ketika berhadapan dengan ketumbukan musuh di medan Ahzab, sedang kita juga boleh diibaratkan sedang berhadapan dengan pakatan Ahzab Moden yang bergabung bagi mengekang kemaraan Islam pada hari ini.
 
6.2. Justeru, bertitik tolak di atas tema “Mara Menuju Cita”, marilah kita Terus Beristiqamah untuk memperkukuhkan Kebergantungan kepada Allah SWT, Memantapkan Tarbiyah Kepimpinan dan Ahli, Merapatkan Saf dan Aturan Organisasi, di samping terus meneraju Agenda Penyelesaian Islam dengan melebarkan Khidmat Bakti dan Perpaduan Ummah.
 
6.3. Di penghujung kesempatan ini, ingin saya merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh saf kepimpinan DPPM (#TeamPemuda), yang banyak bersabar dengan karenah saya dalam membantu saya mengemudi sayap penting Jamaah ini, sepanjang dua tahun yang cukup indah dan penuh ukhuwwah.  
 
6.4. Juga sekalung tahniah dan terima kasih kepada jawatankuasa panitia Muktamar, tuan rumah DPPN Kedah, para bentara dan anggota AMAL, penaja budiman serta semua pihak yang menjayakan Muktamar DPPM kali ke-58 ini. Semoga Allah SWT membalas budi baik kalian.  
 
6.5. Akhir kalam, marilah kita meletakkan keyakinan bahawa, “Fajar Islam pasti akan menyinsing pada esok hari, dan sinarannya akan dinikmati oleh semua insan yang ingin menikmatinya”.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Pemuda  
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 27/4/2017