Muktamar Dewan Pemuda: Mara menuju cita, menerjang badai mendatang

TANAH jelapang padi bersimbah dengan cahaya keperakan mentari pagi yang indah menyambut kehadiran perwakilan dan pemerhati ke Muktamar DPPM kali ke 58. Hujan lebat semalaman sebelum muktamar telah membuah udara segar, sebagaimana segarnya ukhuwwah dan persahabatan dalam jamaah Islam ini. Dengan warna ungu sebagai tema muktamar kali ini, pimpinan dan para muktamirin kelihatan segak bergaya. Menguntum senyuman para petugas protokol menyambut hadirin yang memenuhi khemah besar muktamar di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut.

Advertisement

Muktamar Dewan Pemuda semenjak keberadaannya di medan siasah dan dakwah negara ini sentiasa membuncah energi, merubah lanskap politik dalaman PAS dan menjadi penanda aras akan keberhasilan PAS di medan operasional. Dewan Pemuda bermula dengan namanya Dewan Pemuda Islam ditubuhkan pada tahun 1953, dipimpin oleh Ustaz Ahmad Badawi. Ramai kalangan aktivisnya pada dekad 50-an ialah para penggerak sekolah agama rakyat seperti Ustaz Hasan Adli, Ustaz Yunus Yatimi dan lain-lain nama besar dalam perjuangan.

Dewan Pemuda antara yang mengusahakan supaya PAS dipimpin oleh seorang sosok besar perjuangan dan maestro politik iaitu Dr Burhanudin al Helmi. Ustaz Hasan Adli pada tahun 1956,mengusahakan agar Dr Burhanudin  menjadi tonggak utama PAS. Tokoh besar yang bergraduat daripada Universiti Aligagh India ini telah berjaya membawa PAS memenangi negeri Terengganu dan Kelantan pada pilihan raya tahun 1959.

Dewan Pemuda PAS Pusat menerjang badai yang bukan kepalang dalam dekad 1960-an dengan kewujudan pemuda tahan lasak UMNO. Program dan pemimpin PAS diganasi anak-anak muda muda UMNO, sehingga pemuda PAS merespons dengan gerakan Pemuda Syuhada. Ketua Pemuda PAS Pusat, Abdul Samad Gul Mianji mati ditetak dengan kapak kecil di tanah serendah sekebun bunga. Haruman darah inilah yang membugar semangat anak-anak muda PAS di sepanjang zaman.

Dewan Pemuda dalam dekad 1970-an menjadi rakan kongsi strategik dalam pemuafakatan politik, di mana terlantiknya Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat saat itu, Datuk Mustafa Ali sebagai Timbalan Menteri. ABIM dalam dekad itu sebagai rakan simbiosis yang akrab dengan Dewan Pemuda PAS, mencetak kader-kader dakwah.  

Muktamar Dewan Pemuda PAS yang telah berlangsung di Madrasah  Masriyyah Bukit Mertajam pada tahun 1982 telah meluluskan usul kepimpinan ulama. Usul penting inilah yang membentuk orientasi perjuangan PAS selama berdekad-dekad selepas itu. Pemuda PAS telah melangkah gagah di pelbagai sektor, mereka memulakan rangkaian jaringan pendidikan PAS. Bermula dengan pendidikan prasekolah PASTI, merambah kepada SRITI, memotori pendidikan menengah Islam dan juga peringkat kolej universiti yang disempurnakan oleh Dewan Ulama.

Gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan secara munazzomah dicetuskan oleh Dewan Pemuda dengan munculnya Unit Amal yang kemudiannya dijenamakan sebagai Jabatan Amal. Pelbagai jaringan sivil, gerakan swadaya masyarakat digerakkan oleh Dewan Pemuda, yang akhirnya PAS dilihat indah pada kacamata masyarakat awam. Dimana ada bencana dan tragedi dalam dan luar negara, maka entiti PAS terus berada di barisan paling hadapan sehingga diyakini publik.

Dewan Pemuda PAS terus menjaring dan merengkuh pelbagai sektor masyarakat untuk menyertai PAS. Antaranya dengan ARC, menjadikan kelompok anak-anak muda yang minat dalam bidang pemotoran terasa disantuni oleh harakatul ummah ini. Akademi Kepimpinan Pemuda terus mencetak kepimpinan yang kompeten dan berdaya saing, malah jentera tajnid Dewan pemuda terus mengilang kader-kader dakwah yang istiqomah memperjuangkan Islam.

Dewan Pemuda PAS yang menghampiri enam dekad perjuangan ini telah meninta perjuangan ini dengan catatan emas. Merekalah paling ramai mendekam dalam tahanan ISA, dibunuh serta dikucilkan oleh jentera regim. Maka jangan dirosakkan kegemilangan sejarah emas Dewan Pemuda ini dengan pemuda yang berwatak “kain batik”, berada di zon selesa serta manja dibelai.

Teruskan era pengukuhan jamaah ini serta usaha menarik seluruh sektor masyarakat untuk belayar dalam bahtera ini. Pemuda adalah benteng paling ampuh, dada mereka adalah perisai jamaah. Tulang belulang mereka adalah segenggam kekuatan untuk kayuhan bahtera ini menggapai kemenangan dan mardhotillah, mara menuju cita!

Penulis ialah Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Pemuda Malaysia.