TG Haron Din Tokoh Murobbi Sepanjang Zaman

MUKTAMAR Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menganugerahkan Tokoh Murobbi Sepanjang Zaman kepada Almarhum Datuk Dr Haron Din.

Advertisement

Anugerah kepada bekas Mursyidul Am PAS itu disampaikan oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sempena Muktamar DPPM yang ke-58 yang sedang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.

DPPM juga turut menganugerahkan Tokoh Akademik kepada Dr Kamaruzaman Mohd Yusof.

Seramai tujuh individu diberi anugerah Jasamu Dikenang antaranya, Ketua Pemuda PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz,  Mantan Ketua Pemuda Sabah Lahirul Latigu, mantan Ketua Pemuda Perlis Yusaini Yahya, Mantan Ketua Pemuda Negeri Sembilan Norazman Mohamad, Hisyam Mustafa, Mantan Ketua Pemuda Kedah Azam Abdul Samad  dan Mohamad Ibrahim (Ustaz Mat Cina).  

Sementara itu, beberapa anugerah turut diberikan untuk sekolah Pasti yang dipecahkan beberapa katagori termasuklah kawasan terbaik, KPI negeri terbaik, penubuhan Pasti baru, Kpi Majlis Guru Pasti dan penambahan murid negeri terbaik.

Perasmian pada pagi ini dimulakan dengan ucapan Datuk Tuan Ibrahim Tuan dan diikuti ucaptama oleh Ketua Pemuda Nik Abduh.

Dewan Muktamar Pemuda pagi ini kelihatan begitu ceria dipenuhi dengan persalinan baju Melayu berwarna ungu di kalangan para perwakilan sebagai solidariti RUU355.

Terdahulu, Datuk Tuan Ibrahim dan Nik Abduh memakai pakaian tradisi sawah kemudian melakukan upacara membanting padi di gebuk padi sebagai simbolik perasmian, seperti mana negeri Kedah cukup terkenal dengan padi.

Simbolik itu juga menyatakan perjuangan PAS seperti dahulu ibarat padi yang bermula dengan semaian kemudian perlu dibajai dan dijaga (tarbiyah) supaya kuat dan tidak diganggu oleh perosak.

“Ikutlah rasmi padi semakin tunduk semakin berisi, dan PAS semakin kita hampiri kejayaan semakin kita tunduk kepada Allah,” kata pengerusi majlis perasmian Muktamar DPPM. – HARAKAHDAILY 27/4/2017