Membina negara sejahtera

SUNNAH perjuangan Islam ini getir dan sukar. Tiada jalan mudah dan singkat untuk menang. Memerlukan nusrah daripada Allah swt, jiwa yang tabah, fizikal yang kuat dan sikap yang optimis terhadap masa depan Islam yang diperjuangkan.

Advertisement

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ

“Berapa ramai Dari para nabi terdahulu telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-yang taat kepada Allah swt, mereka tidak rasa  lemah hina terhadap musibah yang menimpa mereka pada jalan Allah dan mereka tidak rasa lemah semangat dan tidak pula tunduk (kepada musuh). Dan Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.”

Surah Aali Imran : 146

“Masa depan Islam sangat cerah dengan pertolongan Allah SWT dan kemenangan yang hampir. Teruskan langkah perjuangan dengan mematuhi akhlak dan disiplin berjamaah. Usah ragu dengan hala tuju perjuangan ini dan jangan risau dengan ancaman lawan.”

وَأُخْرَىٰ تُحِبُّونَهَا نَصْرٌ مِّنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

“Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang hampir dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang beriman.”

Surah As Saff : 13

Dewan Ulamak PAS Malaysia dengan Muktamarnya yang ke-56 telah mengangkat tema Membina Negara Sejahtera, kini meletakkan sayap penting PAS itu membuka langkah tampan bergaya untuk :

i – menggerakkan kebangkitan ummah
ii – memimpin perubahan
iii – mengisi kemenangan
iv – mengembangkan empayar Islam

Bermula dengan aqidah yang menjadi tapak kukuh membina negara sejahtera, Dewan Ulamak PAS Malaysia mula membina kelestarian daya fikir ummah agar mengangkat agenda penyelesaian berdasarkan prinsip dan kaedah Islam serta membangunkan negara berpaksikan Syariat Islam.

Seiring dengan langkahan mantap yang dilakukan oleh Dewan Ulamak PAS Malaysia, sayugia seluruh anggotanya mestilah mempersiapkan diri guna mendepani cabaran ini.

Bukan lagi fitnah dan tohmahan key board warrior yang menjadi cabaran besar kepada Dewan Ulamak PAS Malaysia. Bukan juga ancaman musuh politik yang menjadi cabaran hebat Dewan Ulamak PAS Malaysia. Malah bukan juga pengkhianatan para munafikin yang menjadi cabaran berat kepada Dewan Ulamak PAS Malaysia.

Tetapi, cabaran sebenar bagi Dewan Ulamak PAS Malaysia ialah:

i – proses pengupayaan diri agar para alim ulamak kita mampu memimpin negara dengan memiliki watak dan sifat kepimpinan yang berwibawa. Ianya merangkumi :

– ilmu kepimpinan
– pengalaman mengurus
– spiritual yang jitu
– disiplin berjamaah
– peribadi yang thiqah
– komunikasi yang memikat
– jaringan enggagement yang lebar
– peka isu semasa

ii – jatuh maruah dan terjerumus dalam persoalan tengik bengik dan pertikaian yang tidak berkesudahan di mukabuku. Kita pemimpin bukan cybertrooper. Kita pendidik bukan pengherdik. Kita pendakwah bukan pemecah belah.

Kepimpinan ulamak bukan hanya terhad dan melingkar di sempadan parti sendiri, tetapi juga menjadi pemimpin dan memimpin ummah yang tentunya mempunyai pelbagai latar depan belakang mereka, bahkan menjangkau sensitiviti dan keperluan non muslim.

Potensi ilmu yang dimiliki oleh para alim ulamak ini selayaknya meletakkan mereka sebagai sandaran rakyat dan rujukan semasa. Justeru itu ulamak mesti “ada” bila sahaja diperlukan oleh masyarakat. – HARAKAHDAILY 28/4/2017