PAS sasar Kedah PRU 14

PAS meletak harapan tinggi untuk kembali berkuasa di Kedah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang berdasar keupayaan mentadbir negeri itu pada penggal lepas.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim berkata PAS Pusat mensasarkan Kedah pada PRU ke-14 dengan rekod pentadbiran negeri di bawah PAS sebelum ini tidak tercalar.

Katanya orang bukan Islam pun selesa di bawah pentadbiran PAS di Kedah.

“Mereka boleh merasai sendiri pengalaman berada di bawah kerajaan yang ditadbir PAS pada penggal lepas yang banyak membawa perubahan kepada rakyat,” katanya pada kuliah dhuha dan tahlil perdana di Muasasah Darul Ulum Pokok Sena, hari ini.

Hadir sama Timbalan Mursyidul Am PAS Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob, Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Ustaz Mohd Rejab Mohd Akhir dan pemimpin PAS Kedah.

Orang ramai  memenuhi masjid tersebut bagi mengikuti kuliah disampaikan Ustaz Tuan Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan.

Kompleks Muasasah Darul Ulum menempatkan sekolah rendah Islam, sekolah menengah Islam, kolej Islam dan pusat bahasa. Pembinaannya bermula pada 1986 selepas membeli tanah tersebut daripada penduduk kampung.

Muasasah tersebut juga menempatkan kubur bekas presiden PAS Datuk Mohd Fadzil Mohd Noor dan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Ustaz Ahmad turut meluang masa melawat tanah perkuburan tersebut seusai kuliah dhuha.
Ustaz Tuan Ibrahim berkata, rakyat boleh menilai sendiri kejayaan kerajaan negeri yang ditadbir PAS pada penggal lepas.

“Sebab itulah kita mengadakan muktamar di Kedah kali ini bagi mengembalikan momentum tersebut. Berdasar pengalaman lepas, berikutan muktamar yang diadakan di Kedah memberi kejayaan kepada PAS pada PRU sebelum ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/4/2017