Hiburkan hati saudaramu yang ditimpa musibah

KITA tak tahu apa hikmah Allah di atas setiap musibah yang berlaku sama ada kecil atau besar.

Advertisement

Kerana itu Allah mengajar kita memulangkan segala urusan kepada Allah. Tak semua perkara yang berlaku berada dalam ilmu kita. Innalillah wainnaa ilaihi raajiuunn.

Kesabaran pada setiap musibah yang berlaku akan dikurniakan ganjaran pahala oleh Allah. Tak sabar, bukan setakat kita rugi di dunia, malah dibalas dengan dosa. Pahala dan dosa hak Allah. Bukan hak manusia untuk menghakimi. Hak kita antara sesama manusia adalah untuk membantu dan bersama menghiburkan hati saudara kita yang ditimpa musibah.

Beban yang menimpa akan terasa ringan bila kita bersama simpati dan pakat pikul sikit seorang. Orang Islam bersaudara ketika senang dan susah.

Bergembira atas musibah yang menimpa saudara seagama adalah isyarat kekejian akhlak yang ada dalam hati. Malang sekali bagi siapa yang tergamak berperilaku begini.

Takziah untuk semua mangsa yang terlibat dalam peristiwa ribut di Kompleks PAS Kedah senja kelmarin. Semoga Allah menggantikan setiap kerugian dengan ganti yang lebih baik. Sesungguhnya bersama setiap kesukaran itu ada kemudahannya.

Dr Azman Ibrahim
30 April 2017 – HARAKAHDAILY 30/4/2017