PAS dan siyasah mendepani PRU14

MUKTAMAR Tahunan PAS ke-63 berlangsung dalam suasana parti politik dalam negara kita sarat membicarakan Pilihan Raya Umum ke-14  (PRU14) yang perlu diadakan sebelum penggalnya berakhir pada bulan Jun 2018 nanti.

Advertisement

“Hiruk pikuk politik pilihan raya di kalangan parti-parti politik dalam negara kita ini menyebabkan semuanya teruja, sehingga dilihat oleh rakyat begitu galak mengagih-agihkan jawatan itu dan ini sekiranya menang dalam PRU14 nanti,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada muktamar itu yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.

Menurutnya, memang itulah gayanya yang sedang berlaku di luar sana setiap kali sebelum sesuatu pilihan raya umum, menerusi politik moden liberal-pragmatik-sekular.

“Bagi PAS, kita ingin mengambil iktibar dari apa yang di sabdakan oleh Rasulullah SAW kepada Bani ‘Amir ketika ditanya siapakah yang akan menjadi pemimpin dalam negara yang akan didirikan oleh Nabi SAW.

“Apa yang kita kesalkan ialah, ada juga di kalangan parti politik yang berlumba-lumba untuk menjadi penentang agenda untuk meninggikan syiar Islam di kalangan rakyat beragama Islam dalam negara kita ini,” ujarnya pada muktamar dengan tema Sejahtera Bersama Islam. itu.

Tambahnya, mereka saling cabar mencabar, siapa yang lebih dahulu dan paling kuat menentang syiar Islam, seolahnya menjadi kebanggaan baharu di zaman ini.

Menurut beliau lagi, tindakan sebegini sekiranya berterusan, adalah ancaman terbesar kepada keharmonian dan kebebasan hidup beragama yang dinikmati di Malaysia yang menjadikan “Islam sebagai Agama Persekutuan”.

“Sebagai sebuah parti yang besar dalam negara ini dan mempunyai jentera yang menyeluruh di serata negara, kita amat menyedari dan memahami realiti halangan dan kelebihan yang ada di hadapan kita, malah PAS amat menyedari kepelbagaian rakyat yang ada dalam negara bernama Malaysia ini.

Katanya, PAS yakin bahawa dengan Malaysia didiami oleh masyarakat plural dan majmuk, berbagai latarbelakang agama dan budaya, dengan bahasa dan loghat yang berbagai-bagai, sudah tentunya PAS mesti melihatnya sebagai satu kelebihan dalam merencanakan perubahan, pembangunan fizikal dan spiritual.

Beliau berkat, rakan-rakan PAS yang berada di Sabah dan Sarawak tentunya mempunyai begitu tinggi pengalaman dalam menguruskan hubungan kepelbagian etnik yang wujud sebegitu lama di sana, tentunya ada sesuatu yang boleh dipelajari oleh kalangan masyarakat Malaysia yang lain.

“Apa yang pentingnya ialah kita tidak tidur dan hanyut dengan politik moden yang meminggirkan panduan al-Quran dan as-Sunnah, atau yang hanya mengambil sekerat-sekerat dari ajaran Islam sehingga menjadi alat mainan kepada pihak yang terang dan nyata menjadi musuh kepada Islam dengan agenda pecah perintah dan penyelewengan ilmu yang dirancangkan terhadap umat Islam,” ujarnya lagi.

Tambahnya, ada pula di kalangan umat Islam yang terlalu teruja, sehingga tidak sedar menjadi biduk di papan catur yang dipergunakan oleh kalangan yang mempunyai agenda tidak baik terhadap umat Islam, sedangkan umat Islam ingin kembali pada kehidupan beragama sebagai satu cara hidup. – HARAKAHDAILY 29/4/2017