Perwakilan setuju usul tahaluf PAS-PKR

MUKTAMAR Tahunan PAS ke-63 di Kota Sarang Semut menerima usul tahaluf siyasi antara PAS dengan PKR diputus tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulamak berdasar kepada perlembagaan PAS.

Advertisement

Usul tersebut dibentang oleh AJK Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Zulkifli Ismail yang mewakili 23 PAS kawasan dan Dewan Ulamak PAS Pusat serta Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Katanya keputusan itu dibuat dengan merujuk kepada panduan dalamperlembagaan PAS iaitu Fasal 5, Fasal 6 dan Fasal 7.

Ini kerana katanya Majlis Syura Ulamak telah menetapkan tahaluf mesti dijalankan sebagai wasilah menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan Islam serta memberi ruang kepada pelaksanaan Islam.

“Tahaluf mesti dipastikan dasar-dasar Islam dipertahankan, ijtimak hendaklah diberi kepada kepimpinan gerakan Islam, bukan kepada pakatan tahaluf, tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan untuk menyampaikan dakwah,” katanya.

Segala keputusan oleh Majlis Syura Ulamak akan tetap kita patuh dalam pertembungan siasah di negara ini.

Dengan laungan takbir sebanyak tiga kali bergema dalam Dewan Datuk Mohd Fadzil Mohd Noor.

Usul itu kemudian disokong Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang menyifatkan mana mungkin dapat diteruskan tahaluf dengan rakan tidak lagi setia bersama dalam pakatan.

Katanya, sejarah hubungan dengan PKR yang tidak lagi duduk sebumbung termasuk isu Kajang Move dan pertukaran Menteri Besar Selangor.

“Sikap PKR tidak sokong usaha PAS lakukan pindaan Akta 355 bagi memperkasakan mahkamah syariah di Kelantan.

“Tindakan PKR mencuri ahli parlimen PAS di Tumpat yang menang pada 2013. Kita mencabar supaya bertanding di parlimen Tumpat pada PRU ke-14 bagi memperlihatkan sebagai anak jantan.

“Biar pun ada ahli PKR yang hendak sertai PAS namun kita tidak terima buat masa ini,” ujarnya.

Menurutnya ada pemimpin PKR yang datang ke Kelantan mahu mendedahkan kelemahan kerajaan Kelantan.

Oleh itu katanya kita serah kepada Majlis Syurak Ulama untuk membuat keputusan sama ada memberi kesan kepada kerajaan Selangor dan Kelantan.

Pengerusi Tetap Husin Ismail kemudian meminta perwakilan yang bersetuju dengan usul itu supaya berdiri. Sebulat suara perwakilan melaungkan setuju dengan usul tersebut pada jam 6.28 petang

Berikut ialah usul tahaluf siasi.

Usul bersama PAS Kawasan Bandar Tun Razak, Beruas, Labis, Lumut, Bera, Serdang, Pandan, Batu, Shah Alam, Bayan Baru, Titiwangsa, Kuantan, Paya Besar, Padang Terap, Kuala Terengganu, Kuala Kangsar, Marang, Bukit Mertajam, Kuala Nerus, Dungun, Kuala Langat, Dewan Ulamak PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Sejarah lalu mencatatkan bahawa PAS telah melaksanakan hubungan Tahaluf Siyasi dengan berbagai pihak disepanjang tempuh perjuangan PAS ini.

Keputusan yang dibuat, adalah merujuk kepada panduan yang menjadi rujukan dalam perlembagaan PAS, iaitu Fasal 5 (Tujuan PAS), Fasal 6 (Usaha – Usaha) dan Fasal 7 (Hukum dan Kekuasaan). Majlis Syura Ulamak telah menetapkan Syarat Tahaaluf Siasi. Antaranya seperti berikut:  

1. Tahaaluf mestilah dijalankan sebagai wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam.  

2. Tahaaluf mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dipertahankan.  

3. Intima’ hendaklah diberikan kepada kepimpinan gerakan Islam, bukan kepada pakatan Tahaaluf.  

4. Tahaaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah.  

5. Matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan Tahaaluf secara mutlak.  

6. Mandat membuat penilaian Tahaaluf mestilah dibuat oleh Majlis Syura Ulamak.  

Kini terdapat banyak pelanggaran syarat berlaku disepanjang tempoh berlangsungnya Tahaaluf Siasi antara PAS dan PKR. Ianya boleh dibuktikan melalui beberapa kejadian yang berlaku, antaranya:  

1. Penglibatan PKR menyokong calon PAN dan menentang PAS dalam dua pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar.  

2. Kegagalan PKR untuk memberi sokongan yang baik kepada usaha PAS memperkasakan Mahkamah Syariah melalui Pindaan Akta 355 malah dilihat turut bersama dengan pendirian DAP yang menentang keras Pindaan Akta 355 ini.
 
3. Kenyataan-kenyataan pimpinan PKR secara terbuka yang jelas memperlihatkan keceluparan dan kebiadapan mereka terhadap PAS sekali gus tindakan mereka yang tidak menunjukkan setiakawan.  

Maka, sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke 63 yang berlangsung pada 29 April hingga 01 Mei 2017 bersamaan 2 hingga 4 Sya’aban 1438 di Kompleks PAS Kedah Kota Sarang Semut Kedah Darul Aman, kami mengusulkan supaya Tahaluf Siasi antara PAS dan PKR diputuskan tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulamak menurut peruntukan perlembagaan PAS. – HARAKAHDAILY 30/4/2017