Ribut kencang ketika azan Maghrib

HARI pertama Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 semalam berlalu tanpa sebarang kehangatan. Namun ketika azan Maghrib dialunkan tiba-tiba ribut kencang melanda sehingga menterbalikkan khemah tempat jualan.

Advertisement

Tempat jualan (ekspo) yang menempatkan pameran dan jualan Kelab Keusahawanan Haraki (KU-Haraki) dan agensi kerajaan terbalik. Begitu juga khemah jualan Harakah.

Ribut bermula selepas hujan agak lebat. Hujan lebat juga turun di sekitar bandar Alor Setar petang semalam.

Ketika muktamar ditangguhkan kira-kira jam 3 petang semalam, cuaca masih lagi terang di sebalik awam kelabu yang kelihatan dari jauh.

Seramai 19 orang dilaporkan cedera akibat kejadian itu yang melanda kira-kira jam 7.25 malam.

Seramai 13 daripada mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah termasuk seorang dilapor tidak sedarkan diri.

Pagi ini, Menteri Besar Kelantan Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob bersama anggota Exco kerajaan negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi melawat tempat kejadian.

Hadir sama isteri Menteri Besar Datin Zubaidah Abdul Hamid. Ustaz Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS diberi penjelasan mengenai kejadian malang tersebut oleh anggota Jabatan Amal.

Muktamar di Kota Sarang Semut itu juga berlangsung Karnival Kelantan yang mempamerkan pelbagai kejayaan dan produk yang dibawa dari negeri Serambi Mekah.

Agensi-agensi kerajaan negeri pula mempamerkan pelbagai aktiviti termasuk projek hartanah, perladangan, skim beras al Itaam, produk Kelantan Biotech Corporation dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun kejadian itu cuba digambarkan musuh Islam dengan imej negatif memandangkan PAS dikatakan mahu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Sedangkan pada muktamar semalam tiada sebarang perbahasan mengenai sebarang isu kecuali ucapan dasar presiden dan pembentangan laporan muktamar tahun lepas.

Gambaran negetif juga memenuhi fb pihak yang bersekongkol dengan musuh gerakan Islam, turut memaparkan pelbagai imej buruk terhadap PAS. – HARAKAHDAILY 30/4/2017

mad2