Muktamar ke-63 melabuhkan tirai penuh ukhuwah

MUKTAMAR Tahunan PAS Kali Ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah Darul Aman yang penuh ukhuwah telah melabuhkan tirainya. Muktamar yang berlangsung dari 29 April – 1 Mei 2017 bersamaan 2-4 Syaaban 1438H telah ditangguhkan dengan taujihat penuh bersemangat dan penuh motivasi perjuangan dari Presiden PAS.

Advertisement

Kepimpinan tertinggi Parti Islam Se-Malaysia (PAS)  bagi sesi 2017-2019 kekal diterajui oleh Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Presiden dan Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Timbalan Presiden yang menang tanpa bertanding.

Manakala bagi jawatan Naib Presiden, Perwakilan juga mengekalkan penyandang Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

Berikut merupakan 18 orang Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat bagi sesi 2017-2019 yang telah dipilih oleh Perwakilan:  

1. YB Ustaz Haji Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
2. YB Dato’ Dr. Mohammad Fadzli Hassan
3. Dr. Ustaz Riduan Mohd Nor
4. YB Dato’ Ustaz Haji Nasuruddin Daud
5. YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
6. Dr. Hajjah Najihatussalehah Ahmad
7. Dr. Mohd Zuhdi Marzuki
8. YB Dr. Halimah Ali
9. YB Ustaz Haji Sallehen Mukhyi
10. Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi
11. Dr Rosni Adam
12. Tuan Haji Razman Zakaria
13. Dr Azman Ibrahim
14. Ustaz Haji Mokhtar Senik
15. Tuan Haji Kamaruzzaman Muhammad
16. YB Ustaz Haji Abdullah Hussin
17. Ustaz Haji Misbahul Munir Masduki
18. Muhtar Suhaili As-Sarawaki

Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap telah dimenangi tanpa bertanding oleh penyandang masing-masing Tuan Haji Hussin Ismail dan Ustaz Kamal Ashaari. Pemeriksa Kira-kira pula kekal Najib Mat dan Mat Syukor Abdul Aziz.

Alhamdulillah, muktamar tahunan yang penuh ukhuwah, mahabbah, tenang, matang dan sejahtera. Selamat kembali berkhidmat di medan buat semua para ‘amilin PAS dengan mengobarkan dan menyebarluaskan tema Muktamar “Sejahtera Bersama Islam”.

Mohon doakan kami! Sokongan dan dokongan teman-teman seperjuangan sekalian amatlah diharapkan. Teguran membina dan nasihat berterusan semua sangat dihargai.

Doakan semoga kami istiqamah melaksanakan amanah yang dipikulkan kepada kami. Bantulah kami dalam usaha mengangkat syariat Islam dan meninggikan martabat Ummah. Semoga Allah redha dan permudahkan urusan perjuangan. Allahumma Aamiin.

Saya mengingatkan diri saya dan berpesan kepada kalian sebagaimana ucapan Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. ketika diangkat menjadi pemimpin. Rabbi yassir wa la tu’assir Ya Kariim.

Saidina Abu Bakr As-Siddiq, Khalifah selepas Rasulullah SAW adalah insan yang paling layak untuk menjawat jawatan tersebut. Namun beginilah ucapan pertamanya:

“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku.” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361). – HARAKAHDAILY 1/5/2017