Muktamar: Ucapan penangguhan Ketua Pemuda PAS

DALAM ucapan sulung saya selaku Ketua Pemuda baru yang dimanahkan di Muktamar ke-63 ini, DPPM ingin mempertegaskan bahawa Pemuda berdiri teguh di belakang kepimpinan ulama yang telah membuktikan kelangsungan PAS melalui pelbagai rintangan dan ujian sama ada dalaman mahupun luaran. Meskipun di luar sana terbit suara-suara yang memandang sinis PAS sebagai Parti Pak Lebai namun dalam muktamar ini jua kita nak beritahu bahawa Parti Pak Lebai inilah yang terbukti bersih daripada kekotoran politik sekular duniawi semata-mata. Sesungguhnya Parti Pak Lebai inilah yang telah berjaya ‘melebaikan’ golongan profesional dan aktivis dan Parti Pak Lebai inilah yang akan menjadi benteng utama mempertahankan Islam dalam negara kerana manhaj politik PAS adalah manhaj politik Islam yang meletakkan Islam di hadapan dan tidak meletakkan akal semata-mata apatah lagi hawa nafsu di hadapan.

Advertisement

Perkaderan du’at dan mujahid dakwah adalah mauduk utama yang digalaskan ke atas DPPM. Kami dalam DPPM juga ingin mempertegaskan di sini untuk terus memperkasakan agenda-agenda perkaderan dan pentarbiyahan yang menjadi sendi terpenting kepada PAS sebagai sebuah Gerakan Islam. Alhamdulillah dengan lahirnya SRITI yang dipelopori oleh YB kekanda Ustaz Nik Mohamad Abduh maka ia berjaya meneruskan kesinambungan PASTI yang telah membuktikan kejayaannya dalam melahirkan anak-anak yang mendapat pendidikan Islam yang sebenar. Kami juga akan memberikan perhatian bagi memperkasakan Jabatan Remaja (13 – 17 tahun) sebagai elemen yang baru dilontarkan untuk memperkemaskan lagi saff Pemuda. Insyaallah perkara ini akan dijenamakan (rebranding) semula bagi memastikan gerak kerjanya lebih tersusun dan efisyen.  

Meneliti Ucapan Dasar Tuan Guru Dato’ Seri Presiden serta pimpinan yang lain, menelusuri bahasan setiap Perwakilan, dari Dewan-Dewan ke Negeri-Negeri, dapat kita fahami detik nadi, intipati dan hasrat naluri setiap ahli dan pimpinan. Kita juga saling memberi ucapan, melontar idea, mengemuka dan membahas usul, mengetengahkan persoalan dan dalam setiap dua tahun di mana kita sama-sama memilih barisan kepemimpinan baru untuk menerajui bahtera jamaah. Dan dalam setiap tempoh waktu berakhirnya muktamar, kita akan membina resolusi baru, membina azam dan tekad untuk sidang tahun perjuangan yang mendatang. Rata-rata pembahas dari kalangan pemuda menunjukkan PAS tidak ketandusan pimpinan pada masa akan datang

DPPM menyedari bahawa sasaran dakwahnya dan medan tempur utamanya ialah anak-anak muda yang begitu lunak didedahkan dengan pelbagai godaan ‘fake news’, cabaran dunia digital tanpa sempadan, pendedahan kepada pelbagai aliran pemikiran bukan ‘mainstream’. Aliran-aliran sesat ini kembali meracuni pemikiran mereka akibat serangan idea-idea liberalisme dan sekularisme yang berselindung di bawah pelbagai NGO yang didokongi parti-parti anti-Islam mainstream di samping mendapat sokongan dana luar biasa dari luar yang memang menunggu detik dan saatnya untuk menghancurkan segala usaha pendaulatan Islam di Malaysia sebagaimana yang telah berlaku dalam episod Arab Spring di kalangan negara-negara Islam Timur Tengah, rampasan kuasa di Turki dan terkini cubaan cabaran terhadap merampas kuasa politik lslam di Indonesia.

Demi sesungguhnya, kita kini sedia menanti untuk memuktamadkan percaturan politik murahan mereka yang menentang Islam. Medan pilihanraya ke-14 kali ini dijangka cukup hebat sehinggakan ada yang menjangkakan pertembungan dua kelompok  besar: satu kelompok yang mahu memartabatkan Islam dan satu kelompok lagi yang tidak mahu Islam dimartabatkan. Saya ingin mempertegaskan di sini bahawa DPPM berdiri teguh di belakang saff pimpinan bagi melaksanakan agenda memartabatkan Islam sebagai Agama Negara dengan pendekatan Matang dan Sejahtera yang diambil oleh PAS sekarang ini. Pendekatan ta’awun ‘ala al-birr wa al-taqwa dan tidak berta’awun ‘ala al-ismi wal-’udwaan adalah pendekatan terbaik yang mengikut manhaj al-Quran dan al-Sunnah.

​Demi merealisasikan hasrat ini, kita mesti bersedia mengubah minda rakyat jelata untuk benar-benar memahami misi dan visi kita dan apakah bentuk lanskap politik yang akan kita bina jika kita berjaya diamanahkan kepimpinan di Negeri-Negeri dan beberapa kerusi penting Parlimen. Pengalaman PAS di Kelantan dan Negeri-Negeri yang kita pernah perintah sebelum ini mesti kita manfaatkan sepenuhnya sebagai blue print asas dengan pembaikan untuk kerajaan-kerajaan baru yang akan kita bina kelak, dengan izin Allah SWT. Hanya dengan cara bekerja yang betul, mengatur langkah cermat dan menyeluruh, pandai membaca taktik musuh dan seumpamanya akan membuahkan hasil yang kita ingini. Ingatlah rakyat jelata yang membuang undi semasa pilihanraya itulah yang bakal menentukan kemaraan kita mendaki kemenangan melalui sistem demokrasi berparlimen yang sama-sama kita terima.

PAS telah bersetuju menerima sistem demokrasi berparlimen menerusi pilihanraya sebagai salah satu uslubud-dakwah berdasarkan manhaj al-Quran dan Sunnah yang menjadi dasar perjalanan parti sejak tahun 1951 sehingga kini. Sehubungan itu, bagi mendepani PRU 14 DPPM telah meletakkan satu objektif untuk menguasai sekurang-kurangnya 60% undi orang muda di setiap DUN dan Parlimen yang ditandingi oleh PAS. Kami akan memikul tugas untuk menggerakkan anak-anak muda bagi melakukan perubahan kepada negara mengikut tema ke arah mendaulatkan Islam dalam kerangka perlembagaan sedia ada. Maka dengan ini, sebagai sayap kanan parti, insyaallah DPPM akan menggerakkan seluruh jentera pemuda daripada sekarang bagi menghadapi PRU ke-14 yang akan tiba pada bila-bila masa; tidak tahun ini, pastinya tahun hadapan.

DPPM mengambil ‘queue’ daripada barisan kepimpinan ulamak untuk meniupkan semboyan ke medan tempur. Sehingga kini arah tuju PAS dalam PRU ke-14 adalah berdiri sendiri dan bekerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) untuk mewujudkan Gagasan Sejahtera sebagai Blok Politik Ketiga dan berhadapan dengan Blok Pertama Umno dengan Barisan Nasional (BN)nya dan Blok Kedua DAP serta sekutu Pakatan Harapan (PH)nya.

Jangan kita anggap ketidakupayaan PAS memerintah seluruh negara sejak 1955 sehingga kini menerusi sistem pilihanraya sebagai tanda kita berada di landasan yang silap. Demi sesungguhnya, beringatlah bahawa kita tidak ditanya oleh Allah SWT tentang hasil dakwah kita tetapi kita akan dipersoalkan apa yang kita buat semasa umur muda dan tua kita.

Akhirul kalam, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengakhiri Ucapan Pengangguhan Wakil Pemuda dalam Muktamar PAS ke-63 di Alor Setar, Kedah Darul Aman kali ini dengan mengungkapkan bait-bait doa dan munajat ringkas berikut:
Dengarkanlah Azam dan Tekad Pemuda-Mu ini
Berbekal Iman, Jihad dan Taqwa kita laungkan
Saff Pemuda yang kita persiap-siagakan,
Bersama-sama kepimpinan ulamak yang kita sepakati
Badai dan lautan siyasah kita renangi
di bawah Lembayung al-Quran dan Sunnah kita teduhi.

Penuh khusyuk takzim mengharapkan Nasrullah-Mu
Munajat doa kami panjatkan ke hadrat-Mu, Ya Ilahi
Janganlah Kau lupakan kami, Ilahi Rabbi
Dalam kesempatan Muktamar ini kami akur-janjikan
Pantang Melayu – Agama, Adat dan Raja dialpakan
Tiga Tiang Seri leluhur sejati kita sanjungi
Merafak sembah sujud kami hanya kepada-Mu

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 1/5/2017