PRU14: Mencari tarikh sebenar ‘bubar parlimen’

PERANG persepsi, pembunuhan karekter, dan perang puji-memuji kerja lakonan kebajikan sedang giat berjalan, umpama negara sudahpun terbubar Parlimennya.

Advertisement

Televisyen kerajaan dan swasta (yang pro kerajaan) tidak henti menjalankan dakyah, ratib propaganda untuk memastikan minda rakyat terfokus kepada parti yang memerintah.

Perang ‘tawar-menawar’, perang ‘pujuk memujuk’ masih lagi berlaku, antara parti-parti pembangkang, tidak terkecuali parti komponen dalam BN yang sedang mencatur arus, sama ada mampukah mereka bertahan dengan masih bersama Umno atau sebaliknya.

MCA, MIC, Gerakan dan parti dari Sabah Sarawak mula mencatur pergerakan, apatah lagi kacau bilau yang berlaku dalam BN sejak beberapa tahun lalu sebenarnya sudah membarah.

Nanah yang luka dan parah menanti untuk dibelah, kalaupun tidak namun keparahan hubungan antara komponen BN dengan Umno sebenarnya pada tahap yang sangat kritikal sebenarnya.

Isu RUU355 menampakkan kecerdikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam membuka ‘gelanggang’ yang luas sasarannya, dalam pada itu dengan tujuan utama mengukuh kedudukan Mahkamah Syariah dalam pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah.

Biarpun parti lain yang pernah bersama dahulu menyifatkan PAS ‘kalah’ dalam isu RUU355, namun ianya satu telahan yang songsang kerana arus ‘Gelombang Tsunami Hijau’ yang mengorak dan berkuak akibat RUU355 sedang mula membadai.

Gelombang kebangkitan ‘umat Islam’ yang padanya tersentuh dengan pendekatan Tok Guru Abdul Hadi dalam menerjang badai massa membawa satu agenda yang tuntas sifatnya memperkukuh Undang-undang Syariah memperilihat peningkatan sokongan masyarakat Melayu.

Tidak kira ahli Umno mahupun yang tidak berparti, mereka mula lunak dengan PAS dan tersentuh dengan kesungguhan PAS membawa agenda Islam ini.

Mahu tidak mahu Umno juga ‘bimbang’ dengan gelombang ini. Dapat dilihat ketakutan itu apabila mereka kini menjadikan Kelantan sasaran mengwujudkan ‘gelombang biru’ untuk PRU14 (projek tawan Kelantan) selepas ‘gelombang merah’ mereka menewaskan parti nasionalis ini pada PRU13 lalu.

PAN dan Umno ‘berbincang’ dalam diam, beberapa kali pertemuan antara watak-watak utama kedua-dua parti itu di Kelantan berlaku, malah viral pertemuan juga semakin terbuka ‘menjadi rahsia umum’.

Perbincangan, propaganda, fitnah dan serang menyerang cukup ‘gamat’ mutakhir ini, dan apatah lagi adanya ‘hearsay’ yang menyebut tekaan tekaan tarikh pilihan raya mengikut signal tertentu.

Lenggok perjalanan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke seluruh negara menjadi perhatian pemerhati dan ulasan-ulasan serta ucapannya menjadi ‘hint’ kepada penganalisis dalam meneka bila akan dibubar Parlimen.

Ada yang mula sejak tahun lalu menyebut bahawa Mac 2017 sebagai tarikhnya, namun ianya telahpun berlalu, ada pula ‘prediction’ menyebut mungkin dalam bulan Ramadhan, namun ianya satu penilaian yang sedikit tersasar kerana suatu yang mustahil berlaku kerana PRU memerlukan keterlibatan machinery pelbagai dan kekuatan tenaga yang lebih tinggi.

Malah boleh menjadi ‘back fire’ kepada BN jika mahu menjadikan Ramadhan sebagai bulan perang mempertahan negara, walau dalam Sirah Nabi, Badar berlaku semasa Ramadhan.

Jikapun mahu berlaku, persiapan keseluruhan sama ada SPR, agensi lain dan kekuatan jentera kedengaran masih dalam peringkat 80 peratus.

Namun paling ramai menyebut tarikh PRU14 pada September, malah ianya dikukuhkan dengan kemungkinan bahawa set Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya dibentang di Parlimen pada sidang Julai ini adalah satu yang rasional buat masa ini.

Bak kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali semasa sesi penggulungan Muktamar PAS ke-63 di KOMPAS, Kota Sarang Semut 1 Mei, bahawa tidak mungkin sebelum September berlaku PRU14 kerana beberapa hujah antaranya persempadanan semula.

Setidak-tidaknya tarikh tamat tempoh pada Julai 2018 ini boleh memberi ‘hint’ kepada kita semua bahawa PRU14 mungkin sekali berlaku Mac 2018 sebagai tarikh yang paling rasional menyimpul kesemua teori dan tekaan.

Sejak tahun lalu, ramai yang meneka-neka tarikh Pilihan raya Umum ke-14, apatah lagi persempadanan semula telah dicadang namun perbahasannya dijangka Julai ini bakal diselesaikan. – HARAKAHDAILY 1/5/2017