PRU14: Pusat arah PAS negeri hantar senarai calon

PAS Pusat telah mengarahkan PAS negeri-negeri supaya menghantarkan senarai calon untuk bertanding dalam Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Advertisement

Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS negeri-negeri diminta menghantar tiga nama calon untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) dan parlimen.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan para perwakilan supaya berusaha meningkatkan sokongan masyarakat kepada PAS.

Ini, katanya kerana sokongan rakyat adalah antara elemen penting untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya selain daripada strategi dan jentera.

Bagaimanapun, ujar beliau semua PAS negeri telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU14. – HARAKAHDAILY 1/5/2017