Mereka peralat PAS supaya tinggalkan Islam

PERJANJIAN ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ yang pernah dimeterai pihak tertentu bersama PAS dahulu hanyalah untuk memperalat parti Islam ini bagi memenuhi agenda mereka, demikian bidas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Advertisement

Kerana itu tegasnya, tidak mungkin PAS boleh bersetuju untuk mereka menentang Islam yang dibawa sedangkan penubuhan parti itu sejak tahun 1951 adalah semata-mata untuk Islam.

“Penurunan PAS dalam kancah politik tanah air tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mempertahankan hasrat Islam yang ia mendaulatkan Islam menerusi perbahasan matang dan sejahtera di Dewan Rakyat. Kita juga melihat bertapa kesannya ‘bi iznillah’.

“Bagaimana tahun 2016 yang lalu, dengan tema Budaya Politik Matang Sejahtera, kita berjaya mengemukakan suatu wacana politik sihat yang memikat parti politik yang bersaing di pentas pilihan raya yang sama setiap penggal,” ujarnya dalam ucapan penangguhan pada Muktamar PAS Kali Ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini semalam.

Menurutnya, Majlis Syura Ulamak PAS selepas Muktamar PAS tahun lalu telah bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketakwaan demi untuk memperkukuhkan Islam dan perjuangannya.

Maksud itu jelas beliau, telah dinyatakan juga pada muktamar tersebut bahawa PAS ingin keluar dari politik cara lama dan keterlaluan yang menyusahkan rakyat.

Malah PAS katanya, sejak Pilihan Raya Umum Pertama tahun 1955 telah bersendirian menentang parti-parti politik termasuk Umno yang juga dianggotai umat Melayu-Islam kerana berbeza pendekatan.

Namun terangnya, walaupun saling berbeza, berlawan, berbalah dan bertengkar, tetapi PAS menjaga batas dan sedia menarik ‘brake’ jika terlanjur supaya tidak merosakkan keharmonian masyarakat dan persaudaraan.

Beliau bersandarkan kalimah “akh-kha hum” (saudara mereka) pada ayat 73 surah al-A’raaf yang diajar Allah melalui kisah kaum ‘Ad dan Tsamud yang diutuskan kepada Nabi Hud dan Nabi Soleh.
 
“Majlis Syura Ulamak PAS telah pun mendepani prinsip dan dasar yang jelas dalam hubungan antara PAS dengan pihak-pihak lain dengan membawa agenda tarbiyah, dakwah, siyasah oleh kepimpinan PAS.

“Kita juga dapati dengan izin Allah, apa yang selama berdekad-dekad dianggap musuh politik nombor wahid PAS selama kini, mereka sudah bersedia memahami kita seperti sebuah parti politik Islam, memahami maksud surah al-Anfal yang kita baca awal-awal tadi,” terangnya menyatakan PAS menyambut kerjasama berkenaan berpandukan ayat 2 surah al-Ma’idah.
 
Menurut Tuan Guru, dengan hidayah Allah, Usul RUU355 dapat dibentangkan dan Yang di-Pertua Dewan yang mengakui faham isi kandungan, tujuan serta huraian itu telah menangguhkan sidang tanpa perbahasan menggunakan kuasa ada padanya supaya lebih difahami dan memberikan masa.

Bahkan jelas beliau, sikap PAS itu bersesuaian dengan manhaj Muwajahah Silmiyah yang diamalkan PAS sejak sekian lama sebagai pendekatan siyasah syar’iyyah.

“PAS telah mengingatkan semua wakil rakyat yang saya tegaskan, jangan permain-mainkan agama Islam yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan di mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengangkat sumpah jawatan akan memelihara agama Islam sebagai agama negara.

“Mendaulatkan Islam sebagai agama negara menjadi cita-cita setiap warga Islam Malaysia, dan PAS akan terus membawa obor mendaulatkan Islam di negara ini dalam kerangka perlembagaan Persekutuan sedia ada,” ujarnya sambil mengimbas kembali detik-detik sejarah 6 April itu kepada para perwakilan.

Namun katanya, mesti diingat bahawa ia bukan satu anugerah, malah bersifat mehnah ujian Allah SWT dan amanah dipertanggungjawab ke atas pundak PAS setelah sanggup merentasi gelombang politik tanah air untuk menyampaikan dakwah pada masyarakat Malaysia yang disayangi. – HARAKAHDAILY 2/5/2017