Presiden seru ‘bersiap’ dan realisasikan BPMS

AHLI PAS perlu melahirkan kelayakan syakhsiyah menerusi persediaan jati diri dengan ilmu dan akhlak sama ada dari tarbiyah parti atau bersendiri serta mempunyai kemahiran dan alat-alat yang cukup, di samping kewangan mengikut kemampuan.

Advertisement

Perkara itu diutarakan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan penangguhan pada Muktamar PAS Kali Ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini semalam.

“Allah tidak memaksa kita, jangan sembunyikan kemampuan. Orang yang mampu RM10, ikhlas RM10 (pasti) diterima Allah. Orang yang mampu RM1 juta, (tapi) beri RM100,000, itu menipu. Ini (kena) faham, Allah mengetahui kemampuan kamu,” ujarnya menterjemah mesej pada ayat 60 surah al-Anfal.

Ayat itu menurutnya, adalah hidayah dan wahyu yang menjadi petunjuk kepada Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) khususnya dalam perkara berkait persediaan dan pendekatan politik damai.

Terma persediaan itu diperincikan lagi oleh beliau dengan memetik ayat 249 surah al-Baqarah berhubung kisah pasukan tentera Thalut yang diuji Allah dalam menunjukkan soal kesanggupan dan keyakinan.

Di mana menurut Tuan Guru, para ahli tafsir menyatakan Thalut membuat persediaan 80,000 tentera, tetapi hanya 4,000 mengikut arahan dan ‘golongan sedikit’ ini telah mengalahkan ‘golongan yang banyak’ dengan izin Allah dan Allah bersama golongan sabar.

Turut dipetik beliau adalah ayat 159 surah Ali-‘Imran kisah Perang Uhud yang membawa pengajaran berkait mesyuarat, kelemahan iman dan mengikut dorongan kawan serta kewajipan istiqamah sama ada menang atau kalah.

“Yang kedua politik perdamaian. Senario kejayaan dakwah dan politik daripada sirah nabawiyyah dan zaman Khulafa’, masa damai menyebabkan orang menerima Islam berkali ganda selepas Sulh Hudaibiyah dan selepas pengampunan beramai-ramai Fathu Makkah, berlipat kali ganda. Berbeza dengan masa tegang.

“Senario perjuangan PAS sejak tahun 50-an, saya menyaksikan betapa Islam dihina, mencerca Islam, menghina Islam. (Kalau) Memerintah Islam (akan jadi) huru-hara, (jika) hudud dilaksanakan banyak orang cacat, kudung, busuk sungai, banyak orang mati.

“Setelah kita mengambil politik perdamaian, bersabar sehingga menyertai Kerajaan 1973, Campuran 1974, BN, dia tendang balik. Tapi kesan perkembangan PAS berjaya meranapkan budaya menghina Islam, tak ada (lagi) kecuali suara terpencil sahaja. Sehingga kita berjaya menembusi orang bukan Islam dan berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS, ini kejayaan BPMS,” ujarnya.
 
Seru beliau, dalam senario perjuangan hari ini, PAS perlu dimantapkan dengan BPMS menerusi pengisytiharan untuk merealisasikan ‘Tahaluf’ (ikatan), ‘Ta’awun’ (kerjasama), ‘Musolahah’ (perdamaian dan hikmah) dan juga ‘Maw’izah hasanah’ (nasihat baik) serta ‘Muwajadalah billati hia ahsan’ (berdebat secara sopan).
 
Tegasnya, politik melawan secara bodoh mestilah ditinggalkan kerana ia bukanlah politik Islam, termasuk juga politik ‘jual ubat di tepi jalan’ yang tidak diiktiraf di Kementerian Kesihatan.

“Ada pengamal media yang melariskan politik ini. Maka pengamal media PAS mesti awas berwaspada, jangan terikut dengan politik yang tidak matang. Betapa Islam menunjukkan hidayah, menangani masyarakat majmuk secara matang dan sejahtera,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 2/5/2017