Siapa cuba ‘koyak’ perlembagaan persekutuan?

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) membuat kajian terhadap parti-parti politik yang cuba mengoyak asas Perlembagaan Persekutuan dengan melihat sama ada mereka menghormati dan mengikut peraturan perlembagaan itu atau sebaliknya.

Advertisement

Antaranya tutur beliau, melibatkan soal penghormatan terhadap Agama Persekutuan, Raja Berperlembagaan, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, Hak Bumiputera; Melayu, Jawa, Bugis, penduduk asal Semenanjung dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“Ada hak istimewa yang perlu dihormati mengikut Perlembagaan. Mereka hormat atau tidak? Ada yang cuba nak koyak-koyak asas Perlembagaan ini. Maka saya minta supaya ROS, kaji parti mana?” lontar beliau dalam ucapan penangguhan pada Muktamar PAS Kali Ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini semalam.

Pada ucapannya itu, beliau turut menegaskan bahawa kemunculan PAS sebagai sebuah parti politik dan bertanding dalam sistem demokrasi moden tidak mengubah kedudukannya selaku Gerakan Islam semasa, sepertimana gerakan Islam sedunia lain yang turut bertanding dalam sistem pilihan raya demokrasi moden.

Dalam hal itu PAS katanya, mengambil kaedah syarak yang mengizinkan bertanding di atas Pilihan Raya Umum setempat dengan masuk untuk memberikan suara Islam kepada rakyat semuanya, sesuai dengan demokrasi diamalkan kini di mana mengizinkan PAS mewakili rakyat secara demokratik mengikut perlembagaan negara dan undang-undang.

“PAS tetap menjadi gerakan Islam. Apabila bercakap mengenai dakwah dan jamaah gerakan Islam atau Harakah Islamiyah, kita ingin tegaskan bahawa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sejak tahun 1951, telah wujud atas asas dan kesedaran untuk berdakwah dan menyahut tuntutan sebagaimana dalam Quran dan Sunnah.

“Sejak kelahirannya hampir 60 tahun lebih, PAS telah meletakkan Islam sebagai dasarnya. Islam dari segi undang-undang tubuhnya, perjalanannya, perjuangan setiap ahli dan barisan kepimpinannya, sehinggalah ke matlamatnya untuk mendaulatkan Islam sepenuhnya di Malaysia Harakah Islamiyah ini insya-Allah.
 
“Kemunculan PAS di tengah-tengah masyarakat Malaysia bersama-sama beberapa kumpulan Islam yang lain, tetap tidak akan mengubah statusnya sebagai sebuah Harakah Islamiyah,” ujarnya

Tuan Guru menggariskan empat ciri utama sebagai iaitu PAS sebuah jamaah Islam yang ditubuhkan di atas kesedaran untuk melaksanakan islah dan tajdid di Malaysia dan PAS adalah jemaah Islam yang mendokong dan memelihara kesyumulan Islam dan keterikatannya.
 
PAS juga nyatanya, adalah jamaah Islam yang bernaung di bawah kepimpinan ulama secara amal jama’ie dengan menekankan ciri ‘hizbullah’ iaitu parti pendukung ajaran Allah dan PAS adalah jamaah Islam realisitik dan taktikal.

“Berakar umbikan rakyat jelata dari semua lapisan masyarakat, bukan kalangan elit sahaja. (Ada) ulama, ilmuwan, pemimpin masyarakat, rakyat umum sehingga bukan Islam, kaya, miskin, upaya, kurang upaya, alim, buta huruf, mereka adalah ahli-ahli PAS.

“PAS adalah jamaah Islam yang mengambil bahagian dalam politik tanah air di atas kekuatan dan kemampuannya tersendiri membina sebuah ummah. Hari ini PAS punya 195 Kawasan, 7,000 lebih Cawangan, bukan politik slogan dan sepanduk. Ada orang politik slogan dan sepanduk (sahaja).

“Kita politik 195 Kawasan, 7,000 lebih Cawangan. Maka tidak ada siapa yang boleh menjadikan PAS (sebagai) hotel persinggahan, hotel tumpangan untuk singgah sementara nak menumpang. Barangsiapa yang menumpang, ada masa ‘air cond’ berjalan, ada masa ‘air cond’ mati. Bila ‘air cond’ mati dia berambus pergi,” ujarnya melontar mesej peringatan. – HARAKAHDAILY 2/5/2017