Tiada lagi ‘anak lari’ dari rumah lepas muktamar

PERTANDINGAN jawatan dalam PAS Pusat hanyalah penawaran diri di kalangan adik-beradik untuk sama-sama nak bantu kerja ayahanda melaksanakan suatu urusan yang sangat besar.

Advertisement

Kami calon-calon yang bertanding dalam pemilihan PAS adalah adik-beradik yang saling mengasihi antara satu sama lain. Masing-masing ada kelebihan untuk buat kerja. Kekurangan yang ada itu memang perkara lumrah kerana kita adalah manusia.

Kesetian kami bulat kepada ayahanda Tuan Guru Presiden selaku ketua keluarga. Sejarah perilaku anak-anak yang pergi berpakat dengan orang lain untuk nak khianat kepada ayah sendiri dah berlalu pada tahun 2015. Semoga ianya menjadi sejarah yang tak berulang lagi.

Menang adalah amanah untuk kita pikul tanggungjawab. Tak menang terlalu banyak lagi tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan. Jawatan dalam sebuah gerakan Islam adalah taklif (tanggungjawab) dan bukannya tasyrif (kemulian). Bila Allah nilai kita tak mampu pikul satu tugas, Allah akan bagi kita satu tugas yang lain.

Dalam PAS, beban amanah kita pikul secara bersama. Ia bukan kerja individu dengan skill keupayaan luar biasa seperti Ultraman, Batman dan Superman. Makhluk bertaraf ultra sebegini tiada tempat dalam PAS.

Semua yang berada dalam PAS dari atas ke bawah di semua peringkat adalah batu bata yang saling mengukuhkan binaan saf perjuangan ini. Semua kita adalah penting. Walau hilang hanya seketul bata maka akan nampak kecacatannya. Sama ada tangga atau atap, kedua-duanya sama-sama penting dalam binaan ini. Tangga jangan rasa hina kerana berada di bawah dan selalu dipijak kerana atap yang berada di atas terlebih dahulu bertanggungjawab meneduhkan tangga dari hujan dan panas. Kalau dipanah petir, atap yang di atas akan kena dulu.

Saf kepimpinan PAS Pusat yang baru ditaklifkan semalam bakal berdepan dengan ujian besar PRU14. Tuan Guru Presiden telah membentangkan hala tuju parti dalam ucapan dasar dengan jiwa seorang negarawan. Tanggungjawab kami saf Jawatankuasa PAS Pusat untuk menyambut segala lontaran idea dan saranan Tuan Guru Presiden lalu diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja pemasaran bagi memasarkan PAS ke tengah khalayak. Produk yang baik perlu dipasarkan dengan cara yang terbaik. Selamanya kita tetap yakin bahawa yang terbaik adalah produk Islam.

Mesej PAS adalah bertujuan untuk menyelamatkan manusia dengan Islam. Beramal apa yang mampu dan bersabar dalam berjuang bagi melaksanakan tuntutan Islam yang dihalang.

Kerja PAS adalah untuk membina sebuah negara yang sejahtera bersama Islam. Malaysia adalah negara kita dengan kepelbagaian kaum yang mengamalkan kehidupan beragama dengan pelbagai kepercayaan. Apa yang penting ialah bagaimana untuk kita meyakinkan masyarakat bahawa Islam adalah penyelesaiannya.

Saya cukup yakin tak ada lagi anak-anak yang lari dari rumah lepas Muktamar Alor Setar. Cukuplah iktibar yang diambil dari akibat yang telah menimpa mereka yang pilih untuk meninggalkan keluarga besar perjuangan Islam ini.

Kepada Allah kita berserah segalanya.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
5 Syaaban 1438 / 2 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 2/5/2017