Jemaah Pengampunan Pahang: Kami sokong penuh!

FIRMAN Allah SWT.

Advertisement

فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ

Yang bermaksud : “Maka barangsiapa yang mendapat suatu permaafan dari saudaranya, hendaklah yang memaafkan mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah yang diberi maaf membayar diyat kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik pula” (Al-Baqarah : 178)

Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPN Pahang) menyokong penuh hasrat Jemaah Pengampunan Pahang untuk merealisasikan kaedah pengampunan dengan pembayaran diyat yang selari dengan undang-undang Islam.

Bagi kesalahan membunuh khususnya, pembayaran diyat merupakan peluang kedua buat penjenayah untuk bertaubat dan menjadi insan yang berguna. Dari sisi yang lebih penting, diyat merupakan sejumlah harta yang wajib dibayar dan diberikan oleh penjenayah kepada wali atau waris mangsanya sebagai ganti rugi, sekali gus mencerminkan pembelaan yang sewajarnya kepada waris mangsa.

Dalam sistem perundangan di Malaysia, kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman mati mandatori.

Dalam syariah, kesalahan ini dinamakan Qatlul `Amd (bunuh dengan sengaja). Sekali imbas seolah-olah hukuman ini sama seperti hukum Qisas dalam syariat Islam. Tetapi apabila didalami prinsip hukum Qisas, natijahnya amat berbeza dari segi hak dan keadilan.

Perlu diambil perhatian juga, pelaksanaan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan ini tidak meletakkan pembelaan yang sewajarnya kepada waris mangsa. Tiada pampasan, mahupun ganti rugi yang diwajibkan dibayar oleh penjenayah kepada waris mangsa.

Keadaan ini menyukarkan waris mangsa untuk meneruskan kehidupan sekiranya mangsa merupakan tonggak utama pencari nafkah dalam keluarga. Bertambah malang sekiranya waris mangsa merupakan anak yatim piatu, tempat pergantungan mereka hilang sekelip mata.

Oleh itu, DPPN Pahang merasakan ada ruang penambahbaikan yang perlu diusahakan bagi memberi keadilan dan peluang, bukan sahaja kepada penjenayah tetapi juga kepada waris mangsa. Kecenderungan mengutarakan cadangan diyat itu menunjukkan fitrah manusia mahukan pembelaan keadilan setimpal berbalas.

Titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak berkenaan ke arah mengangkat usaha menggubal perundangan yang berasaskan kerangka Islam itu secara lebih menyeluruh dalam pencegahan, penguatkuasaan, pendakwaan dan kehakiman.

Seperti yang dititahkan oleh baginda berkaitan kaedah pengampunan ini, “Ini pendekatan yang ada dalam undang-undang Islam dan cadangan ini apabila diputuskan adalah bertepatan dengan syariah Islam”. Baginda juga menyeru rakyat jelata supaya bersama-sama berfikir akan kebaikan undang-undang Islam tersebut.

USTAZ HAZMI DIBOK
Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang
6 Syaaban 1438H / 3 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 3/5/2017