Hudud hanya untuk penjenayah

SAYA tidak tahu jika tulisan ini bakal mengundang rasa tidak senang bagi mereka yang sudah lama berjuang menegakkan hudud. Namun mengambil semangat sabda Nabi “Addenn Nasihah”, saya kemukakan jua tujuh nasihat. Semoga membawa manfaat untuk masa depan umat di tanah air ini.

Advertisement

1. Cuba hidupkan terma ‘hudud hanya untuk penjenayah’ sebagai pembaharuan kepada tagline ‘hudud hanya untuk orang islam.’ Saya kira perkataan kedua ini membina gap dan kurang kukuh kerana dengan mudah di’spin’ kata islam tak adil sebab orang islam mencuri kena potong tangan, bukan islam kena penjara saja. Ramai benar yang terpengaruh.

Orang yang menolak hudud juga bakal dilihat membela non-muslim dari sudut keadilan berhukum. Islam kelihatan eksklusif dan bertentangan dengan slogan rahmat untuk semua. Terma tersebut terlalu umum bagi sebuah makna yang dalam.

Sebaliknya menggunakan terma hudud hanya untuk penjenayah boleh menyatukan muslim dan non muslim kerana kedua-dua golongan ini sememangnya menolak jenayah.
Saya tabik dengan pendekatan ‘hudud hanya untuk muslim’ untuk suatu ketika dahulu. Tapi seperkara yang perlu diakui ialah kita mesti sentiasa perbaharui bentuk promosi agar sentiasa mampu menambat hati pelanggan.

لاينكر تغير الأحكام بتغير الأزمان والأمكان

2. Minimakan perkataan ‘hukum’ hudud. Dalam Bahasa Malaysia, hukum antaranya membawa maksud balasan atas kesalahan. Itulah makna paling dekat yang akan singgah dahulu dalam pemikiran apabila perkataan hukum disebut. Bunyinya seolah islam suka menghukum.
Padahal dalam bahasa arab, hukum membawa maksud kaedah dan balasan sebenarnya ialah ‘uqubah’ .

Amalan perundangan dunia memisahkan antara fasal jenayah, perbicaraan dan hukuman. Rang Undang-undang Jenayah Syariah yang diperjuangkan PAS merangkumi ketiganya bukan hanya hukuman semata-mata.

Lebih lunak jika diguna perkataan ‘undang-undang jenayah’ hudud.

Islam amat menjaga soal wording kerana implikasinya besar. Tengoklah teguran tuhan dalam surah al-Baqarah ayat 102. Dia minta tukar perkataan Ra’ina kepada Nzurna.

لا تقولوا راعنا وقولوا انظرونا

3. Tonjolkan isu ‘jenayah’. Banyakkan forum dan wacana pendedahan ancaman krisis jenayah di Malaysia. Bina mood sedar dan peduli masyarakat terhadap keselamatan dalam Malaysia dahulu. Bawa perkara ini sehingga rakyat sedar ada sesuatu yang perlu dibaiki. Banyakkan mendengar disamping bercakap. People dont care how much you know until they know how much you care.

خاطب الناس على قدر عقولهم

4. Kempen hudud melalui iklan-iklan yang indah dan mesra. Font, coloring, effect, background, border semuanya perlu diteliti. Saya terkejut bercampur kesal dengan beberapa helai t-shirt yang terpampang perkataan hudud dihiasi dengan gambar pedang dan tulisan warna merah. Poster ceramah penerangan hudud juga nampak angkuh dan tegas. Maaf, ia tidak membantu menarik masyarakat yang sedang sceptical dengan hudud.

الحكم على شيء فرع عن تصوره

5. Ceritakan isi-isi perundangan jenayah hudud lebih dari namanya. Lihat contoh kajian melibatkan lingkungan 300 orang responden ini sebagai panduan:

Soalan pertama yang ditanya ialah adakah anda bersetuju dengan perundangan islam? Majoritinya menjawab tidak bersetuju.

Soalan kedua datang dalam bentuk masalah. Jika anda menjadi mangsa jenayah, apakah hukuman yang anda akan pilih? Samada A (penjenayah perlu membayar ganti rugi kepada mangsa) atau B (membayar denda kepada kerajaan). Hampir keseluruhannya memilih A dan itulah prosedur hukuman Islam, bermatlamat membela mangsa bukan menyeksa pesalah.

Lupakan nama fokuskan isi. Nabi SAW tidak kisah perkataan bismillah dan namanya dipadam dari mukaddimah dokumen Perjanjian Hudaibiyah dan diganti dengan nama lain oleh Musyrikin Quraisy kerana isinya lebih penting dari nama. Ini strategi.

العبرة بالمسميات لا بالأسماء

6. Ceraikan keenam jenayah hudud (murtad, mencuri, menfitnah, merompak, zina dan minum arak) dan fokus kepada satu-satu. Brunei memisahkan perlaksaan kanun jenayah syariahnya kepada beberapa fasa. Fasa pertama menekankan undang-undang solat Jumaat.

Saya maksudkan bukan hanya ceraian dari sudut pelaksanaan sahaja, tapi harus dimulai dengan promosi. Pilih bunuh dan mencuri dahulu sebagai kempen melihat kepada kritikalnya. Dari sudut lain juga, bunuh dan curi juga boleh diterima penganut semua agama berbanding arak dan zina. Semangat pengsyariatan berperingkat perlu diterapkan.

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْلَا نُزِّلَ عَلَيْهِ الْقُرْآنُ جُمْلَةً وَاحِدَةً ۚ كَذَٰلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ ۖ وَرَتَّلْنَاهُ تَرْتِيلًا.

7. Jangan terus menolak hujah golongan yang menyatakan ketidak relevanan hudud atas alasan kondusifiti. Bersetuju dengan mereka dari satu sudut walaupun tidak bersetuju dari sudut lain. Sokong hujah kondusifiti sememangnya menjadi syarat hudud, kerana suasana yang tidak kondusif mengundang syubhat yang membatalkan pelaksanaan hudud seperti yang berlaku di hari-hari pemerintahan saidina Umar. Tetapi dalam waktu yang sama menerangkan hudud amat kondusif di Malaysia masa ini dengan permasalahan jenayahnya yang begitu kritikal dan tidak sama seperti di Tunisia, Mesir atau Turki.

أهل مكة أدرى بشعابها

Walau bagaimanapun, saya menyokong penuh tindakan kerajaan Kelantan mengaplikasikan hudud dalam ruang yang ada. Lidah praktikal lebih fasih dari lidah teori. Tetapi teori tetap tidak boleh dikesampingkan. Iman dan amal sentiasa seiringan dalam lafaz al-Quran. Iman itu tahu dan amal itu laku.

Kerajaan menghabiskan hingga RM200 juta hanya untuk membentuk persepsi baik masyarakat terhadap GST. Takkanlah kita tak boleh melaburkan fokus untuk merancang penerapan persepsi baik masyarakat terhadap hudud. Kalau sekadar cerita kaedah pelaksanaan dan dalil kewajipan, ulama’ silam dah sediakan semuanya. Kita perlukan suatu gerak seterusnya yang lebih membumi ke Malaysia.

Jangan terus melenting jika hudud belum diterima. Itu lumrah dakwah. Kekalkan istiqamah jangan sekadar istimrar.

Dakwah umpama meniaga. Dalam dunia perniagaan, kalau anda tidur sehari orang akan tinggal anda berbatu-batu. Anda kena sentiasa kreatif menawarkan sesuatu dan menghasilkan sesuatu.

Dunia dakwah apatah lagi. Gerak tajdid perlu sentiasa berlaku dalam keadaan musuh sentiasa bersaing untuk merebut mad’u. Kita tidak memperlekeh cara orang lama berdakwah tetapi bak kata hukama’, perkara yang betul pada masa yang salah adalah tetap salah.

Kita fundamentalis, tapi bukan konservatif!

Maaf jika tersalah bicara. Mohon berbincang. – HARAKAHDAILY 4/5/2017