Pemuda Umno perlu berani betulkan kemungkaran politik

USUL memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR sepertimana dibentang dan diterima pada Muktamar PAS Kali Ke-63 Ahad lalu adalah urusan PAS dan tidak perlu campur tangan daripada Umno. Ia menunjukkan ketegasan PAS terhadap mana-mana pihak dalam memastikan prinsip dan dasar Islam yang menjadi teras perjuangan parti ini terus dipelihara mengatasi segala kepentingan; politik kuasa dan kebendaan.

Advertisement

Pemuda Umno Kedah diingat agar tidak terlalu teruja dan gembira terhadap segala keputusan yang telah diambil oleh PAS kerana PAS sendiri tidak mempunyai ikatan politik dengan Umno. Bahkan Umno itu sendiri tidak jauh bezanya dengan parti tersebut yang belum berani bertegas kepada rakan komponen BN untuk berperanan menegakkan syariat Islam dalam negara ini.

Bahkan Umno masih menyimpan kebimbangan dan tidak yakin pada diri sendiri untuk melaksanakannya walaupun menerajui pemerintahan. Begitu jua sayap-sayap Umno juga tidak berani menyuarakan perihal kelemahan, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam urus tadbir negara.

Kami menasihati Pemuda Umno Kedah agar tidak perlu menjadi konsultan politik kepada PAS untuk bertahaluf siyasi dengan mana-mana pihak dan mengambil sebarang langkah politik. PAS tidak hilang punca apatah lagi berjalan di dalam kegelapan akan tetapi kekal berdiri di atas paksi yang teguh untuk mempertahan dan meninggikan agama Allah.

PAS sentiasa membuka pintu muzakarah bahkan telah lama membukanya kepada mana-mana pihak untuk membincangkan hal-hal berkaitan pelaksanaan Syariat, Pembangunan Negara dan sebagainya atas dasar sebuah parti politik yang mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Dengan menggariskan syarat ia mestilah berteraskan Islam serta kesediaan melakukan islah dan tajdid sebagaimana panduan al-Quran dan as-Sunnah.

Justeru, Inilah masa terbaik untuk Umno kembali berpegang kepada tali Allah dalam segenap ehwal dan menginsafi serta bertaubat atas segala kesilapan dan dosa lalu dengan mencari serta memohon keampunan Allah. Umno perlu berubah, kerana politik juga tertakluk kepada perhitungan dosa dan pahala di mana akhirnya kita akan kembali kepada Allah jua.

USTAZ SALIM MAHMOOD
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 4/5/2017