Wahan membinasakan umat akhir zaman

SEBAGAI umat yang hidup di pengakhiran bagi seluruh kehidupan, atau dikenali juga dengan umat akhir zaman, tiada seorang insan pun yang lebih menyayangi umat ini sehinggakan melebihi daripada kasih sayang seorang ibu kepada anaknya, iaitu dialah insan yang bernama Muhammad bin Abdullah iaitu Rasulullah, penutup bagi segala para rasul dan nabi.
 
Kehidupan pada akhir zaman, adalah kehidupan yang terlalu banyak kejahilan dan kejahatan melebihi dari kebaikan. Rasulullah SAW telah mengingatkan kita akan satu fitnah atau penyakit yang akan melanda umat akhir zaman yang dikenali dengan penyakit “WAHAN.”

Advertisement

Daripada Tsauban berkata, Rasulullah SAW bersabda:
 
“Akan terjadi masa yang mana umat-umat di luar Islam berkumpul di samping kalian semua wahai umat Islam, sebagaimana berkumpulnya orang-orang yang memakan hidangan makanan, kemudian salah seorang sahabat bertanya: apakah pada saat itu kami sedikit ya Rasulullah? Nabi menjawab: tidak, bahkan pada saat itu kalian dalam jumlah yang banyak, namun pada saat itu kalian bagaikan buih yang ada di lautan. Ketika itu Allah telah hilangkan dari musuh-musuh kalian rasa takut dan segan terhadap kalian, dan kalian terkena Wahan. Kemudian seorang sahabat bertanya kembali: Ya Rasulullah apa yang kamu maksudkan dengan Wahan itu? Rasulullah berkata: Cinta dunia dan takut mati.”

APAKAH ITU WAHAN?

Wahan dari sudut bahasa dapat kita fahami dengan makna lemah atau dhaif. Manakala dari sudut istilah kita dapat fahami maknanya berdasarkan hadis di atas iaitu cinta kepada dunia dan takut akan mati.

Punca penyakit ini muncul adalah kerana hati yang telah bertaut kepada dunia, merasakan dunia ialah tempat nikmat yang sebenar dan memandang seakan-akan kehidupannya terhadap dunia adalah kehidupan yang kekal abadi sehingga tidak merasakan kesedaran dalam diri akan adanya kehidupan selepas dari alam dunia.

Sebagaimana dalil  firman Allah swt. dalam Al-Qur’an Al-Karim yang bermaksud:

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).” (Q.S Ali Imran:14)

Dari firman Allah SWT di atas, menjelaskan adanya bermacam-macam kesenangan duniawi yang dikurniakan oleh Allah SWT yang dijadikan indah pada pandangan manuasia, sehingga mengakibatkan manusia menjadi tergila-gila pada kenikmatan dunia sehingga mereka berusaha untuk memperoleh kesenangan duniawi tersebut, dan melupakan kehidupan kekal kelak di akhirat.

Setelah manusia memperoleh pelbagai kesenangan duniawi, kemudian mereka takut untuk kehilangan kenikmatan tersebut dan selepas dari timbul perasaan cinta dan sayang kepada dunia maka akan timbul dalam pemikiran bahawa akan takut untuk mati, kerana rindu dan sayang untuk meninggalkan segala kenikmatan yang telah diperoleh di dunia sehingga membuatkan seseorang tidak mahu berpisah dengan dunia yang dicintai. Mereka juga takut datangnya kematian sehingga mereka tertimpa musibah berbentuk wahan iaitu penyakit cinta dunia dan takut akan kematian.

UBATI PENYAKIT WAHAN
Setiap penyakit sudah pasti ada ubatnya, begitu juga dengan penyakit ini kita mestilah mencari penawar untuk mengelakkan penyakit ini semakin berleluasa dalam diri kita.

Antara penawarnya ialah kita hendaklah belajar untuk bermujahadah dan mencintai Allah SWT, Rasulullah SAW, agama Islam dan umat Islam dengan mengorbankan diri dari kehendak akan duniawi yang hanya menjauhkan diri daripada pengabdian diri kepada Allah SWT, kerana hakikat cinta adalah pengorbanan.

 Kita juga haruslah menyedari akan hakikat sebenar manusia ini diciptakan dan hakikat sebenarnya kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Jadilah sebaik-baik hamba yang sentiasa bertaqwa kepada Allah kerana sebaik-baik manusia adalah orang yang bertaqwa kepada Allah.

 Sentiasa mendampingi para alim ulama atau orang yang soleh merupakan salah satu penawar daripada penyakit ini kerana merekalah yang akan menunjukkan jalan pada kita di akhir zaman ini. Selain itu, kita mestilah menuntut ilmu dan memenuhi masa dengan mengingati Allah SWT kerana nafsu jika ia tidak dengan perkara yang benar maka ia akan sibukkan kita dengan kebatilan. – HARAKAHDAILY 5/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia