Mapim selar pihak yang tuduh Dr Zakir ancaman

SETELAH meneliti kes tuduhan terhadap pendakwah terkenal dari India, Dr Zakir Naik, Mapim mengambil pendirian menolak dan membantah beberapa golongan termasuk Hindraf dan badan gabungan agama Buddha, Hindu, Kristian dan  Sikh di Malaysia yang menuduh beliau sebagai ancaman kepada keselamatan negara dan dengan itu mereka melancarkan kempen menolak kehadiran beliau di Malaysia.

Advertisement

Soalnya apa agenda mereka untuk menolak Zakir Naik berceramah di Malaysia jika kerajaan Malaysia tidak melihat beliau sebagai ancaman dan dengan itu mempunyai masalah menerima beliau sebagai tetamu dan penda’wah?

Kami mengikuti isu serangan dakwaan yang dilakukan oleh beberapa kumpulan di negara ini yang pada hakikatnya mahu menyekat pengaruh beliau kepada masyarakat awam di Malaysia, terutama mengenai keupayaan beliau berhujah dalam perbandingan agama yang menarik ramai penganut agama lain kepada Islam.

Pengaruh beliau di India dalam menjelaskan kefahaman masyarakat terhadap Islam dan bandingan dengan agama lain ternyata dilihat sebagai gugatan kepada pihak yang bersikap fobia dan cemburu terhadap Islam.

Kami berpendirian apa sahaja tuduhan ke atas beliau yang dilaporkan oleh pihak media di India dan di negara yang lain, hendaklah dibukti tanpa prejudis. Jika hanya dengan bersandar kepada pandangan esktrimis Hindu di India dan kelompok Barat yang melebel beliau sebagai pembicara yang menerapkan faham terorisme, maka bagi kami ia tidak lain dari propaganda Islamofobia yang telah mempengaruhi kelompok penentang Zakir Naik.

Kami kesal terhadap penentang Zakir Naik yang begitu ghairah mahu beliau dihantar balik ke India. Nampaknya pihak yang menfailkan kes dimahkamah itu beria-ia untuk menghukum beliau dan dengan sentimen yang melampau mendesak kerajaan Malaysia menangkap dan mengusir beliau.

Apa agenda mereka sebenarnya? Mengguna alasan Dr Zakir diburu oleh pihak berkuasa di India, tidak cukup untuk menjadi asas kerajaan Malaysia untuk menahan dan mendesak taraf pemastautin tetap beliau di Malaysia dibatalkan. Malaysia ada undang-undangnya tersendiri dan tidak perlu tunduk kepada desakan dari luar.

Sepanjang kami mengikuti ceramah beliau secara langsung di India dan di Malaysia tidak ada bukti bahawa beliau mengembangkan faham esktrimis dan menganjur keganasan terhadap penganut agama lain.

Hanya mereka yang tidak mampu berdebat dengan beliau akan terasa tergugat kerana beliau mampu membentang wacana yang jelas dan menyakinkan mengenai Islam untuk didengar dan difahami oleh audien Muslim dan non Muslim.

Dengan fenomena ramai yang mahu melafazkan syahadah dalam majlis ceramah Zakir Naik, ia tidak harus dilihat sebagai gugatan kepada agama lain. Ia hanya suatu perkembangan yang positif bahawa penerangan Islam yang jelas dan dapat menghindar dari faham esktremis merupakan sumbangan besar Zakir Naik kepada masyarakat dunia.

Kenapa kumpulan pendesak ini tidak mahu berdepan dengan Zakir Naik dan berdebat secara langsung dengan beliau? Apa yang menyebabkan mereka mengambil keputusan menuntut perintah mahkamah ke atas beliau? Kenapa mereka mahu dilihat juara dan mewakili kumpulan pendesak di India untuk mengambil tindakan ke atas Zakir Naik?

Kemampuan beliau menguasai pengetahuan mengenai agama lain dan secara ilmiah membuat perbandingan dengan Islam, tidak sama sekali menunjukkan beliau menghina atau memprovokasi kebencian terhadap agama Iain.

Malah beliau lebih banyak berhujah untuk memperbetulkan salah faham masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap Islam.

Ruang bersoal jawab yang disediakan, setiap kali beliau menyampaikan ceramahnya telah menarik ramai bukan Islam sama ada belia, cendekiawan, golongan profesional dan ahli agama yang lain untuk mendapat penjelasan yang menyakinkan terhadap keindahan Islam.

Sebahagian besar mesej beliau adalah ke arah menanam sikap toleransi, dialog, keamanan dan saling hormat menghormati antara agama dan kaum.

Tuduhan yang dilontar terhadap beliau oleh golongan yang merasa terancam kerana pengaruh beliau,  adalah semata-mata atas sikap prejudis dan sentimen fanatik terhadap agama dan ketakutan terhadap potensi beliau menarik minat masyarakat awam terhadap Islam yang sebenar.

Tuntutan mahkamah yang difail oleh beberapa kumpulan untuk menangkap, mengusir beliau dari Malaysia dan membatalkan taraf penduduk tetap yang diberi oleh kerajaan Malaysia kepadanya, adalah melampau. Malah adalah sangat biadap apabila ada yang mahu anugerah Maal Hijrah kepada beliau yang disampaikan oleh KDYMM yang DiPertuan Agung, ditarik balik.

Sebaliknya kami menegaskan sikap prejudis agama yang mendalam dari kumpulan seperti Hindraf jelas boleh menimbulkan ketegangan antara agama kerana merekalah yang mencabar kedudukan Islam di negara ini.

Kami menegaskan bahawa kumpulan ini dengan terang-terangan mahu campur tangan dalam urusan agama Islam di negara ini dengan mengguna saluran undang-undang untuk menyekat pendakwah seperti Zakir Naik.

Padahal tidak sedikit para sami dari India dibenarkan masuk ke negara ini atas nama memimpin dan menguruskan ribuan kuil Hindu yang wujud di Malaysia. Kerjasama yang dijalinkan antara Malaysia dengan India jangan diambil kesempatan untuk menekan kerajaan Malaysia mengusir Zakir Naik.

Kami mengingatkan kepada Hindraf dan kumpulan-kumpulan yang bersama dengannya yang sering mempersoalkan isu yang berkait dengan kedudukan Islam di negara ini , agar jangan melampau batas sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam.

Negara ini adalah bebas untuk mengamalkan agama masing-masing kecuali dalam konteks yang boleh menjejaskan keamanan awam. Sikap beragama yang sempit dan prejudis terhadap agama lain tidak harus dibenarkan menguasai pemikiran awam. – HARAKAHDAILY 6/5/2017