Mencari titik mula mobilisasi Pindaan Akta GSA 1960

BEKAS Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak pernah menekankan betapa kewujudan Rancangan Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP)  atau lebih dekat namanya sebagai Felda adalah satu usaha kerajaan dalam membantu golongan miskin tidak bertanah memiliki tanah seterusnya mengubah kehidupan mereka.

Advertisement

Sesuai dengan idea tersebut, maka kerajaan ketika itu membantu masyarakat golongan tidak bertanah ini menabur bakti membantu kerajaan meningkatkan kemajuan dalam sektor perladangan yang sebelumnya dipelopori kaum bukan Bumiputera.

Felda ditubuhkan bagi merealisasikan hasrat ini,  malah Felda pernah mencapai status syarikat perladangan teknokrat terbaik di dunia dengan kemajuan dan asetnya yang cukup bernilai,  memacu kemajuan negara.

Suatu masa lalu Felda menjadi kebanggaan kepada seluruh warganya.

Sampailah satu ketika Felda diserahkan kepada mereka yang tiada integriti dalam mengurustadbir termasuk yang menjadikan Felda kini diambang kejatuhan yang dahsyat apatah lagi kemudi yang menjadi orang kepercayaan Datuk Seri Najib Razak juga sangat diragui integritinya.

Felda merupakan satu satunya kawasan atau aset bernilai kepada Umno BN dalam meneruskan survival politik mereka  dimana ia menjadi fix deposit kepada mereka.

Tatkala kawasan bandar dikuasai pembangkang tidak kira dari parti mana sekalipun, Felda tetap dikuasai Umno secara total.

Namun Umno terus menerus tidak berlaku adil kepada warga Felda khususnya anak Muda.

Apatah lagi Akta GSA 1960 sejak dahulu mengikat warga felda dari terlepas dengan ikatan “janji palsu Umno BN”.

Akta ini  sebenarnya banyak menjerut warga Felda, hanya beberapa Felda terdahulu sahaja yang mendapat hak tanah dan boleh dibahagi kepada waris sedangkan selepas pindaan dan beberapa pengubahsuaian akhirnya kini akta itu dilihat cukup mencengkam.

Mengapa akta ini  disifatkan sebagai bercanggah dengan Islam?

Ayuh kita lihat beberapa cirinya

BERCANGGAH FARAID FELDA

Pertamanya dalam feqah ia bercanggah dengan hukum ihya dan iqta’. Cara pelaksanaan mirip  sistem Feudal Eropah yakni penzaliman berlaku dengan rampasan tanah oleh sang penguasa, ia disebut sebagai zaman kegelapan Eropah.

Keduanya, akta ini tidak telus dan status tanah milik peneroka dan juga tanah Technoplant tidak jelas menurut akad Islam Kontrak Muzaraah dan Musaqah.

Lantas seterusnya akta ini banyak menafikan hak yang diiktiraf syariat iaitu hak waris atau yang disebutkan sebagai generasi kedua dan seterusnga.

Lebih mendukacitakan akta ini sebenarnya menyekat yang halal adalah lebih berat daripada membenarkan yang haram.

Bagi mengetengahkan isu ini, NGO Generasi melihat bahawa ada keperluan untuk dimobilisasi gerakan menggesa Akta GSA ini dipinda dengan para pengamal undang-undang, pakar rujuk syariah  dan pelbagai disiplin ilmu lain termasuk para alim ulama, pentadbir dan para penggubal dasar,  legislatif sebagainya duduk berbincang mengenai pindaan akta ini.

NGO Generasi melihat kepentingan semua pihak duduk menyelesaikan isu ini kerana di sana terdapat kepentingan golongan miskin, bumiputera dan mereka yang tidak bertanah akhirnya nanti memiliki tanah dan dapat diwariskan kepada anak anak mereka bagi menjamin masa depan anak anak ini pasca ketiadaan ibu bapa mereka yang menjadi Peneroka Felda.

Apatah lagi dalam keadaan tanah sebagai aset berharga kini adalah menjadi matlamat bagaimana ia harus dipertahankan hak milik dari generasi ke generasi Felda.

Sesuai dengan peranan NGO Generasi sebagai vehicle PAS dalam mendepani isu isu tanah, warisan dan generasi, maka sudah sampai masanya PAS juga mengwujudkan Lajnah Felda khas sebagai wadah PAS membawa dan mengketengahkan isu Felda bukan terutama sekali dalam memastikan gelombang mencadangkan pindaan Akta GSA ini harus dimulakan sesuai dengan saranan Agenda Memacu Gelombang Hijau yang digariskan Tuan Guru Presiden PAS pada Muktamar Ke-63. – HARAKAHDAILY 6/5/2017

Penulis adalah Presiden NGO GENERASI WARISAN KEBANGSAAN (GENERASI) dan Timbalan Pengerusi Lajnah Tanah, Orang Asal dan Peneroka Bandar