PRU14: Lipat ganda usaha menangi hati rakyat

SEMUA petugas, ahli dan para penyokong PAS digesa memacu kerja-kerja untuk menjana kemenangan pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Advertisement

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, gerak kerja memenangi hati dan minda rakyat perlu dilipatgandakan bagi memastikan PAS mencapai kejayaan.

Katanya, hanya dengan kemenangan PAS dapat memperbaiki kepincangan yang melanda kerajaan negeri dan pusat yang ditadbir oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Minum Petang (Hi-Tea) di Surau Kampung Pak Katak, Kuala Nerus, kelmarin.

Menurutnya, ketidakadilan akan terus berlaku sekiranya BN masih lagi dikekalkan dan Umno terus berkuasa mentadbir negara selepas PRU14, lapor Buletin Online.

AJK PAS Pusat itu menegaskan, GST yang dkenakan kepada orang awam termasuk ke atas orang miskin dan dhaif adalah ‘haram’.

Katanya, rakyat tidak boleh memaafkan kesilapan tersebut kerana ia telah memberi kesan yang teruk kepada kehidupan seharian.

“Saya juga telah menegaskan perkara (GST haram) ini dalam ucapan saya di Parlimen,” tegas beliau.

Justeru itu, beliau menyeru kepada seluruh rakyat agar menolak Umno BN pada pilihan raya umum akan datang.

Turut hadir dan berucap pada majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan (Adun) Bukit Tunggal, Dr Alias Razak.