Kerajaan lompat hina mandat rakyat

PAS menyifatkan kerajaan Selangor akan menjadi sebuah kerajaan ‘lompat’ sekiranya Parti Amanah Negara (PAN) mengambil jawatan di dalam barisan Exco Kerajaan Negeri ini, demikian menurut AJK PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Advertisement

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, umum sudah mengetahui bahawa kerusi PAN di negeri Selangor juga merupakan kerusi ‘lompat’.

“Ia satu penghinaan kepada rakyat Selangor yang mahukan sebuah kepimpinan negeri yang setia kepada prinsip perjuangan,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Beliau turut menegaskan PAS akan kekal di dalam kerajaan Selangor sebagai usaha untuk menerapkan nilai-nilai yang baik dalam politik dan kekal menjadi modek politik bersih untuk negara.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Ketua Pemuda PAN Shazni Munir Mohd Ithnin sebagaimana dilaporkan akhbar Utusan yang berkata, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin perlu membuat keputusan sama ada mahu bersangka baik terhadap PAS yang meluluskan usul memutuskan hubungan pada Muktamar lalu atau merombak kerajaan negeri.

Turut dilaporkan, PAN memberi bayangan parti itu sudah bersedia mengambil alih jawatan Exco, kedudukan dalam anak-anak syarikat, pihak berkuasa tempatan dan jawatan di peringkat akar umbi yang ketika ini disandang PAS. – HARAKAHDAILY 8/5/2017