Muslimat Putatan anjur ‘Sahur Supermama’

BERTEPATAN dengan bulan Ramadan yang bakal menjengah tidak lama lagi, Lajnah Pembangunan Keluarga di bawah Dewan Muslimat PAS Kawasan Putatan (DMPKP) telah menganjurkan program ‘Sahur Supermama’ bertempat di Markas PAS Putatan, Sembulan.

Advertisement

Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Dewan Muslimat PAS Putatan mengajak peserta  bersama-sama memulakan persedian awal untuk menghadapi Ramadan supaya bulan pesta ibadah itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Beliau turut menekankan kepentingan amalan bersahur kerana sahur yang membezakan puasa umat Muhammad dengan penganut agama lain. Selain sunnah Rasulullah, waktu sahur adalah salah satu waktu mustajab untuk berdoa.

Program yang berlangsung selama separuh hari itu dimulakan dengan ceramah berkenaan panduan pemakanan di bulan Ramadan. Pelbagai ilmu bermanfaat berkenaan pemakanan sihat serta tips pantas penyediaan makanan telah dikongsi oleh pakar pemakanan, Puan Hani.

Program turut diserikan dengan demonstrasi masakan menu ringkas dan berkhasiat sebagai panduan para ibu. Antara menu yang telah dikongsi ialah Banana Oat Smoothies, Overnight Oat, Daging Kisar Berempah, Kuih Cara Berlauk serta Makaroni Bakar. Selain mempelajari resepi masakan, para peserta turut disajikan dengan pelbagai tips serta petua menarik yang boleh membantu tugasan ibu di dapur.

DMPKP berharap perkongsian ilmu dapat menambah pengetahuan para ibu dalam menyediakan makanan yang berkhasiat untuk keluarga terutamanya pada bulan Ramadan tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 8/5/2017

MusPu 2