Arul dedahkan semua sebelum dikambinghitamkan

PADA 25 April 2016, lebih setahun yang lalu, PAS pernah menggesa CEO 1MDB, Arul Kandasamy untuk mendedahkan segalanya sebelum beliau berundur.

Advertisement

Ketika itu, beliau memberitahu akhbar The Edge bahawa “kemungkinan berlaku penipuan yang besar dan mungkin terdapat kerjasama daripada pihak sebelah kami sendiri” dalam isu kemelut 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investment PJS (Aabar BVI).

Umum mengetahui, Arul pernah menyatakan kerja beliau di 1MDB telah selesai. Bukan itu sahaja, Arul pernah menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan berkali-kali.

Setelah “penyelesaian” IPIC-1MDB, apa yang tertinggal ialah duit pelaburan untuk Bandar Malaysia bagi melengkapkan pelan rasionalisasi hutang 1MDB.

Malangnya perkara itu terbantut apabila terbatalnya perjanjian jualan saham (SSA) Bandar Malaysia seperti diumumkan TRX City Sdn Bhd pada 3 Mei. Pada waktu yang sama, IWH-CREC bagaimanapun menafikan dakwaan mereka gagal membuat pembayaran, sekalipun sudah diberikan penangguhan sebanyak 12 kali.

Semalam, The Financial Times mendedahkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri yang membatalkan perjanjian bernilai RM7.3 bilion itu kerana didakwa “hilang sabar” ekoran kegagalan CRER untuk mendapatkan pembiayaan.

Jika benar, PAS menggesa Perdana Menteri berhenti berdiam diri dan tampil untuk menjelaskan keadaan sebenar.

Menariknya, susulan kekecewaan tersebut, Arul tampil berjanji akan membuat satu pengumuman penting mengenai 1MDB pada 5 Mei yang lalu.

Malangnya, belum sempat beliau berbuat demikian, timbul pula ura-ura bahawa Arul telah disingkir daripada daripada lembaga pengarah syarikat Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange kerana “konflik kepentingan”.

Persoalannya, apakah yang bakal diumum oleh Arul?

Apakah pengumuman Arul ini tidak direstui oleh Perdana Menteri?

Apakah Arul cuba menyelesaikan masalah IWH-CREC di belakang takbir dengan cara tersendiri sehingga timbul konflik kepentingan?

Apakah konflik kepentingan itu berkaitan dengan keinginan Arul untuk “menyelesaikan” kekotoran 1MDB untuk membolehkan beliau memenuhi hajatnya untuk mengundurkan diri secepat mungkin?

PAS mengulangi gesaan agar Arul dapat mendedahkan segalanya sebelum dikambinghitamkan. Itu pembebasan sebenar daripada tanggungjawab yang beliau pikul terhadap 1MDB ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
9 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 9/5/2017