Kerajaan tidak harus sekongkol industri merosakkan

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Ma[pim) menyatakan kekesalan dan bantahan jika Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Henry Sum Agong turut terlibat merasmikan sebuah kilang vape bernama Vape of Malaysia yang bakal didirikan di Negeri Sembilan pada 12 Mei 2017 ini.

Advertisement

Isu menularnya budaya merokok sama ada dalam bentuk rokok yang biasa mahupun dalam bentuk rokok eletronik seperti vape telahpun berleluasa dan tidak dapat dikawal. Hal ini mendapat reaksi negatif dari kebanyakan masyarakat awam pada 2015.

Soalnya kenapa pula seorang timbalan menteri tidak memahami kesan buruk yang bakal menimpa masyarakat bila tabiat ketagih kepada rokok jenis ini menjadi gejala baru.

Sudahlah tabiat merokok semakin meningkat, kini menghisap vape yang kononnya tidak mudharat menguasai gaya hidup masyarakat sebagai tren terbaru.

Perbahasan dan pendedahan mengenai kesan negatif ke atas kesihatan dan budaya bagi pengamal vape telah disuarakan oleh pakar kesihatan terutama ke atas tabiat dan sikap generasi muda. Tidak mungkin pakar kesihatan mempunyai pendirian yang positif terhadap ketagihan kepada vape.

Apabila seorang timbalan menteri diundang untuk merasmikan kilang yang mengeluarkan peranti vape dan cecair vape walaupun didakwa tanpa nikotin, ia menunjukkan industri ini tidak mempedulikan bantahan awam. Malah industri itu mendapat pengabsahan dari pihak kerajaan sendiri untuk membina tapak industri vape yang akan berkembang di Malaysia.

Apakah Datuk Henry tidak mengetahui implikasi dari penglibatannya jika beliau merestui untuk merasmikan kilang tersebut? Apakah mesej yang akan dihantar oleh timbalan menteri itu kepada masyarakat malah oleh kerajaan sendiri jika beliau menjadi promoter kepada sebuah industri yang jelas tidak ada manfaat sama sekali malah jelas membawa mudharat jangka panjang?

Sementara kerajaan Malaysia mendakwa mempunyai polisi kesihatan awam yang jelas, penglibatan seorang anggota kabinet menteri sudah tentu menjadi tanda tanya malah membawa mesej yang bertentangan dengan dasar yang diperkenal oleh kerajaan sendiri.

Dari sudut agama, hampir semua mufti telah menyatakan sikap bahawa amalan menghisap vape membawa mudharat malah majlis fatwa beberapa negeri telah mengeluarkan fatwa haram. Sayangnya fatwa yang diisytiharkan belum ada yang digazetkan sebagai undang-undang.

Umum tahu tanpa kawalan yang khusus terhadap sesuatu yang menjadi ketagihan di kalangan pengguna terutama generasi muda, pasti akan membawa bencana yang sukar dikawal nanti.

Sebagaimana industri rokok ketika pertama kali ia diperkenalkan ratusan tahun yang lalu, kini sangat sukar dibanteras . Kami yakin gejala rokok elektronik yang sama akan dihadapi oleh masyarakat bila pihak berkuasa sendiri turut tidak peka terhadap gejala yang tidak bermanfaat malah membawa petaka kepada masyarakat awam.

Kami menggesa Datuk Henry selaku timbalan menteri kepada sebuah kementerian yang sepatutnya peka terhadap kesan kepada masyarakat pengguna apabila vape menjadi ketagihan yang baru.

Kami menuntut pihak Kerajaan Negeri Sembilan  membatalkan kelulusan pembinaan kilang vape tersebut supaya ia tidak menjadi tapak membiaknya penagih vape apabila industri itu akan mengembangkan lagi pembinaan kilang di tempat yang lain.

Apa gunanya ia menjadi sumber pendapatan kerajaan dengan mengenakan cukai GST ke atas pengguna vape, padahal kos yang terbeban akibat penyakit dan kesan sosial yang akan merebak adalah jauh lebih parah.

Kami menggesa Datuk Henry supaya menarik diri dari menjadi perasmi kepada kilang berkenaan dan berpendirian tegas dan tidak berkompromi terhadap kesihatan awam yang bakal tergadai dari industri yang akan mengaut keuntungan dari kemudharatan yang menimpa masyarakat. – HARAKAHDAILY 9/5/2017

Penulis ialah Presiden Mapim.