Litar lumba: Lebih selamat atau mudharat?

TELAH diwar-warkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu untuk membina sebuah litar lumba yang diiktiraf antarabangsa bagi memenuhi kehendak orang muda di Terengganu. Dan seperti mana yang kita tahu, baru-baru ini, litar tersebut sudah siap dan telahpun berlangsung pertandingan yang dinamakan Terengganu Drag Battle 2017 (TDB2017) di sana yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Advertisement

Mengikut laporan pro-Umno Teganukita.net, MB berkata, berdasarkan pemantauan, kini hampir 95 peratus masalah rempit telah diselesaikan terutama di Jalan Durian Burung dan Jalan Sultan Mahmud. Hairan juga kita dengan beberapa hari sahaja litar siap, 95 peratus rempit telah dihapuskan? Sedangkan kita tahu bahawa, masalah rempit seperti di Jalan Durian Burung telah berjaya diatasi sejak lebih setahun lalu, hasil kerjasama orang kampung dan pihak berkuasa. Jasa orang kampung diketepikan Umno demi mendapat nama.

Saya kira, setelah dirasmikan litar yang dilaporkan bernilai RM12.7 juta itu, maka akan bergembiralah golongan pelumba dan peminatnya. Namun, ia jauh daripada keceriaan. Telah ditularkan secara meluas di media-media sosial akan kekecewaan peserta sehingga ada yang telah menarik diri. Isu utama ialah litar yang dibina, tidak menepati spesifikasi antarabangsa dari banyak segi, dan paling utama ialah dari aspek keselamatan.

Dikatakan keadaan trek yang gelap, mengundang bahaya kepada pelumba dan juga penonton. Lampu di garisan penamat yang tidak sempurna, ditambah jarak trek yang pendek, menyebabkan ada kereta yang melepasi had pecutan sehingga terkeluar daripada trek. Permukaan litar yang tidak mencengkam, sempit serta beralun di tempat permulaan, turut menjadikan peserta kecewa. Penangguhan perlumbaan juga salah satu faktor yang merosakkan lagi imej penganjur kerana sistem timing yang tidak berfungsi baik.

Hasil daripada trek yang didakwa pelumba tidak mencapai piawaian antrabangsa itu, mereka telah mengalami kerosakan pada kenderaan mereka. Dan kos yang mereka terpaksa korbankan kerana trek yang teruk itu, ialah ratusan ribu. Ada yang rosak gear-box, ada yang terlanggar pembahagi jalan dan sebagainya. Kekecewaan pelumba sangat jelas dengan menganggap mereka telah ‘ditipu’ oleh penganjur kerana mendakwa litar itu sebagai antarabangsa, sebaliknya tidak seindah yang dikhabarkan. Pada pandangan mereka, jika sukan permotoran ini diambil tanggungjawab oleh orang politik, beginilah hasilnya. Bagi PAS, tidaklah menghairankan jika ini hasil dari tangan Umno, kerana sudah puluhan kes binaan bangunan runtuh mereka kerjakan. Yang penting, duit.

Saya menyeru kepada kerajaan, agar janganlah memandang murah nyawa manusia. Perlu kepada satu tindakan bagi menyiasat aduan ini secara menyeluruh kerana ia tidak hanya mencalarkan imej negeri Terengganu, malah juga Malaysia. Perlu disertai pakar-pakar bagi menyumbangkan pandangan dan kemahiran bagi keselesaan dan keselamatan untuk memenuhi spesifikasi litar antarabangsa. Kita faham, Umno kini sangat terdesak untuk meraih undi bagi menyekat kemaraan PAS, tetapi janganlah nyawa rakyat pula yang dijadikan taruhan. Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Adun Bukit Payong / Timbalan YDP PAS Marang
15 Syaaban 1438/ 12 Mei 2017