Tahaluf Siyasi: Keterbukaan Islam

Nik Abduh

TAHALUF Siyasi atau perjanjian persefahaman politik adalah satu bab penting di dalam ilmu Siyasah Syar’iyah (ilmu politik Islam). Ia adalah satu perbahasan berkaitan kerjasama di antara Islam dan musuhnya.

Advertisement

Dalam konteks politik negara kita hari ini, ia merujuk kepada kerjasama di antara parti politik Islam (PAS) dengan saingan atau musuh politiknya yang tidak bersendikan Islam di dalam dasar dan matlamat perjuangan mereka. Bezakan ini daripada kerjasama sesama parti-parti Islam atau jamaah-jamaah Islam. Ia tidak termasuk di dalam perbahasan berkaitan Tahaluf Siyasi.

Hukum kerjasama sesama umat Islam atau jamaah Islam di dalam mencapai matlamat agama adalah wajib dan mestilah diusahakan sepanjang masa walaupun pada masa dan keadaan tertentu ianya dilihat amat sukar. Kesatuan umat Islam adalah wajib hukumnya. Islam datang demi menyatukan umat manusia yang beriman kepada Allah agar dapat menjalani kehidupan berlandaskan syariat agama.

Ia adalah berbeza daripada hukum kerjasama di antara Islam dengan musuh dan saingan politiknya yang tidak berteraskan Islam. Bagaimana boleh bekerjasama dengan musuh ugama? Bukankah mereka mempunyai matlamat yang berbeza dan bersedia bertempur demi mencapai matlamat masing-masing?

Tetapi walaupun asas pertentangan itu wujud secara jelas, Islam kekal dengan matlamat keamanan dan kesejahteraan manusia. Dengan keamanan yang terhasil melalui kesatuan manusialah, Islam akan lebih berperanan mensejahterakan kehidupan melalui pelaksanaan syariatnya. Justeru Islam terus mengintai peluang-peluang yang terhidang bagi memastikan ruang keamanan sentiasa didahulukan.

Oleh kerana tahap permusuhan terhadap Islam adalah berbeza-beza di antara kumpulan-kumpulan yang memusuhinya, juga faktor keadaan dan masa yang boleh mengubah rentak dan hubungan, serta kemungkinan wujudnya pertimbangan-pertimbangan tertentu yang dilihat menguntungkan kedua-dua pihak di dalam menghadapi isu-isu bersama tanpa melanggar prinsip dan sempadan agama, maka hukum kerjasama di antara Islam dan saingannya tersebut boleh berubah daripada tidak harus kepada harus dengan merujuk kepada pertimbangan maslahat dan kebaikan untuk agama dan rakyat.

Asas keharusan bekerjasama dengan semua pihak termasuk dengan mereka yang mempunyai ideologi dan matlamat yang berbeza dengan Islam ialah bergandingan ke arah kebajikan, kebaikan dan keadilan serta memerangi segala bentuk kejahatan, kerosakan dan kezaliman. Islam menerima secara terbuka segala kebaikan walaupun ianya dianjurkan oleh pihak musuh dan menguntungkan mereka. Begitulah besarnya jiwa Islam demi memastikan keamanan dan kesejahteraan hidup untuk manusia seluruhnya. Islam adalah rahmat untuk sekelian manusia.

Justeru ilmu Tahaluf Siyasi di dalam syariat Islam menjadi satu ilmu dan perbahasan yang sentiasa hangat dan kritikal. Menemukan dan menyatukan dua atau lebih kumpulan yang bertentangan (Islam dan seterunya) bukanlah satu hal yang mudah. Para sarjana Islam terus berusaha meletakkan garis panduan yang paling tepat agar pelaksanaannya nanti menjadi lebih praktikal dan membawa kebaikan kepada kehidupan manusia. Sebarang kesilapan dan kecacatan mungkin boleh mencipta kembali perseteruan yang lebih tajam.

Pertimbangan-pertimbangan yang memberi faedah dan keuntungan bersama kepada pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian persefahaman politik tersebut mestilah diperhalusi. Butiran perjanjian hendaklah jelas dan dipatuhi oleh semua. Penyelesaian terhadap sesuatu konflik yang berlaku hendaklah melalui kaedah permesyuaratan yang adil dan diterima. Pendek kata, ilmu Tahaluf Siyasi begitu berkembang selaras dengan perkembangan politik dunia yang begitu cepat dan dinamik pada hari ini.

PAS telah lama melaksanakan Tahaluf Siyasi dengan parti-parti pembangkang di dalam negara. Bahkan PAS pernah menyertai kerajaan campuran (musyarakah hukumiyah) bersama parti pemerintah BN demi mencapai matlamat keamanan dan kesejateraan untuk agama dan rakyat. Ia adalah berlandaskan panduan hukum agama di dalam ilmu Siyasah Syar’iyah.

Hasilnya adalah jelas dengan impak yang amat positif dan berguna untuk negara. Rakyat memperolehi kemajuan, kesejahteraan dan kekuatan melalui kesatuan dan kesepakatan hidup. Melalui Kerajaan Campuran BN-PAS, krisis perkauman dan diskriminasi pembangunan negara berjaya diredakan dan rakyat menikmati kembali keharmonian dan kemajuan secara lebih saksama.

Begitu juga Tahaluf Siyasi di antara parti-parti pembangkang bagi memerangi kezaliman parti pemerintah BN. PAS telah begitu berperanan membantu memenangkan parti-parti pembangkang di dalam pilihanraya selain mengukuhkan barisan pembangkang sebagai pendesak yang sedikit sebanyak berjaya memaksa pihak kerajaan untuk memulihkan demokrasi dan urus tadbir kerajaan daripada penipuan, rasuah, pemborosan dan pelbagai lagi gejala buruk dalam negara dan kehidupan rakyat.

Hari ini, hasil tindakan dan usaha PAS yang begitu terbuka mengadakan kerjasama dengan rakan dan saingan politiknya, lanskap politik negara begitu berubah dan menuju kemajuan. Minda rakyat berjaya digerakkan untuk lebih prihatin dan bertanggung jawab bagi memastikan politik dan pemerintahan yang lebih adil dan telus. Rakyat semakin sedar dengan kesilapan dan kecacatan dulu dan telah bersedia untuk mendukung perubahan.

Semua di atas adalah hasil daripada kesepakatan dan kesetiaan untuk saling melaksanakan agenda bersama yang disepakati. Walaupun berbeza, perbezaan itu diraikan melalui kesepakatan untuk saling meraikan perbezaan. Ia bermaksud mengerah segala tenaga untuk mendukung agenda bersama yang disepakati, manakala agenda masing-masing yang tidak disepakati hendaklah dibiarkan menjadi perjuangan masing-masing yang diusahakan secara bersendiri dan ia tidak boleh menjadi penghalang yang akan membantut kebersamaan di dalam memperjuangkan agenda yang disepakati. Itulah maksud ‘bersetuju untuk tidak bersetuju.’ Ia bukan sekadar kata yang mudah. Ia lafaz setia yang menagih usaha dan kota janji.

Usaha untuk saling memahami hendaklah dilakukan agar perbezaan dapat dikurangkan dan diredakan melalui perbincangan, dialog dan pertemuaan sesama rakan tahaluf yang terbukti mampu memecahkan kebuntuan dan kesukaran. Semakin ruang perbincangan dan pertemuan diadakan, semakin jarak yang memisahkan mampu didekatkan.

Musuh Tahaluf Siyasi adalah pengkhianatan. Setiap muslim diajar untuk tetap di atas janji yang dimeterai dan mestilah mengikat dirinya di atas perjanjian itu walaupun kadang kala tidak menyebelahinya. Ia ibarat nafas dan nadi yang menghidupkan agama Islam. Jika Islam dikenali sebagai agama yang meraikan pengkhianatan terhadap janji setia, sudah pasti Islam tidak akan berkembang maju sebagaimana hari ini.

PAS dalam Tahaluf Siyasinya hari ini mestilah memastikan dua perkara berjalan serentak. Pertama, ia mestilah setia pada janjinya terhadap rakan-rakan tahaluf. Bahkan PAS mestilah menjadi seperti askar yang mempertahankan kesetiaan bersama. Ia penting bagi memastikan matlamat mencapai keuntungan dan manfaat bersama tercapai.

Kedua, PAS mestilah memastikan ia tidak dikhianati oleh rakan-rakan tahaluf. Ia juga penting agar tidak rugi. Berpakat dengan mana-mana rakan, apatah jika ianya dengan musuh dan saingan politik yang menghasilkan kerugian sebelah pihak adalah tidak boleh diterima sama sekali dan mestilah dihentikan. Sudah pasti ianya tidak akan berlaku kepada mana-mana pihak yang bertahaluf kecuali disebabkan oleh pengkhianatan terhadap perjanjian oleh mana-mana pihak yang bertahaluf. Jika begitu, Tahaluf Siyasi adalah terbatal secara langsung. Ia tidak lagi akan membawa kebaikan dan kemajuan yang dimatlamatkan.

Selepas Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung beberapa minggu lepas sebulat suara untuk memutuskan dan menamatkan Tahaluf Siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Majlis Syura Ulamak PAS dalam mesyuaratnya beberpa hari lepas telah memutuskan bahawa Tahaluf Siyasi dengan PKR adalah terbatal. Faktor pokok yang membatalkannya adalah pengkhianatan oleh PKR terhadap perjanjian Tahaluf secara nyata dan berulang kali. PAS tidak lagi melihat sebarang kebaikan untuk mempertahankannya.

PKR berhak untuk menolak dan menghujah keputusan PAS yang menganggapnya sebagai pengkhianat yang menjadi punca terbatalnya tahaluf. Tetapi itulah keputusan PAS. Hukuman selepas itu adalah ditentukan oleh rakyat. PAS telah melakukan yang terbaik untuk kebaikan rakyat dan akan terus berjuang untuk rakyat sebagaimana itulah suruhan agama Islam tercinta. – HARAKAHDAILY 13/5/2017