PAS Wilayah bersedia tanding 9 kerusi parlimen

PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) menyambut baik keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang telah memutuskan bahawa Tahaluf Siyasi antara PAS dan PKR telah terbatal disebabkan berlaku begitu banyak perlanggaran terhadap syarat-syarat Tahaluf Siyasi menurut pertimbangan syarak dan akhlak Islam.

Advertisement

Oleh hal yang demikian PAS WP  telah membuat keputusan untuk bertanding sembilan kerusi Parlimen dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU 14) yang akan datang. Keputusan ini dibuat berdasarkan kemampuan jentera dan kehendak pengundi yang mahukan dan mengharapkan PAS sebagai Parti yang mampu memperjuangkan agenda rakyat dan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Kerusi Parlimen yang akan ditandingi PAS adalah Titiwangsa, Putrajaya, Labuan, Bandar Tun Razak, Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai, Batu dan Segambut.

PAS WP memandang positif suasana politik mutakhir ini dan akan terus komited untuk melaksanakan gerak kerja pilihan raya dalam segala sudut. Peluang dan ruang yang ada akan digunakan sebaiknya untuk memenangkan PAS di kerusi parlimen yang telah disasarkan.

Selain itu, PAS WP juga komited terhadap Gagasan Sejahtera yang merupakan alternatif buat para pengundi untuk memilih kerajaan yang lebih berwibawa, telus dan berintegriti tinggi bagi mewakili rakyat selepas PRU 14 akan datang.

MOHAMAD NOOR MOHAMAD
Persuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 14/5/2017