Tiada yang pelik dalam keputusan MSU

ADA yang meminta saya membandingkan proses pemutusan hubungan politik PAS-PKR sekarang dengan proses pemutusan hubungan politik PAS-PMS46 pada tahun 1996 dahulu.

Advertisement

Hal ini kerana sindiran yang dibuat kepada PAS mengenai proses pemutusan hubungan PAS-PKR ini yang didakwa pelik ekoran kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, bahawa Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS pada 11 Mei lalu memutuskan bahawa “hubungan politik tahaluf siyasi antara PAS dan PKR telah terbatal” dan bahawa “sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran Negeri Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat”.

Sindiran yang dibuat kepada PAS mengenai proses ini adalah kerana “passing” yang didakwa dibuat dari Majlis Syura Ulamak PAS yang lebih tinggi kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang lebih rendah yang didakwa tidak wajar.

Sebenarnya, pihak yang menyindir proses ini juga menyindir amalan PAS sebelum ini yang melibatkan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am PAS dan Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor sebagai Presiden PAS.

Hal ini kerana proses pemutusan hubungan politik PAS-PMS46 dahulu juga bermula dari Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS pada 13 Julai 1996 yang memutuskan bahawa “PAS memutuskan hubungan kerjasama politik dengan PMS46 di semua peringkat”.

Setelah Majlis Syura Ulamak PAS yang diketuai oleh Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am PAS membuat keputusan tersebut, maka ia dibawa kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk menentukan bagaimana ia akan dilaksanakan.

Sebab itulah maka Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor sebagai Presiden PAS menyusuli keputusan Majlis Syura Ulamak PAS ini dengan mengumumkan pula bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 14 Julai 1996, “dalam melaksanakan keputusan tersebut, membuat ketetapan bahawa keputusan itu berkuatkuasa mulai hari ini”, yang diikuti oleh beberapa keputusan lain yang dibuat olehnya untuk melaksanakan keputusan itu.

Oleh itu, tiada yang pelik di dalam tindakan Majlis Syura Ulamak PAS menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk memutuskan sebarang tindakan politik sehubungan dengan pembatalan hubungan politik tahaluf siyasi antara PAS dan PKR ini.

Yang sedikit berbeza hanyalah “wording” spesifik yang digunakan di dalam kedua-dua keputusan ini sahaja, di mana di dalam pemutusan hubungan politik PAS-PKR sekarang, Majlis Syura Ulamak PAS sekadar menyebut secara umum bahawa “hubungan politik tahaluf siyasi antara PAS dan PKR telah terbatal”, tetapi di dalam pemutusan hubungan politik PAS-PMS46 dahulu, Majlis Syura Ulamak PAS menyebut secara lebih spesifik lagi bahawa “PAS memutuskan hubungan kerjasama politik dengan PMS46 di semua peringkat”.

Agak melucukan juga apabila melihat gelagat pihak yang menyindir proses ini dengan berlagak seolah-olah mereka adalah pakar yang serba tahu mengenai PAS sedangkan apa yang mereka perkatakan jauh lari daripada hakikat sebenar yang pernah berlaku di dalam PAS. – HARAKAHDAILY 14/5/2017