Exco Semangat 46 pun enggan letak jawatan

YANG berlaku di Selangor sekarang hanya mengulangi episod hampir serupa di Kelantan kira-kira 21 tahun lampau.

Advertisement

PAS memutus kerjasama politik dengan Parti Melayu Semangat 46 ekoran pemimpin parti itu mendedah rahsia kerajaan negeri. Presiden PAS Ustaz Fadzil Mohd Noor mengumumkan keputusan itu pada 14 Julai 1996.

Datuk Rozali IsohakSebelum itu Pengerusi Perhubungan Semangat 46 Kelantan Datuk Mohd Rozali Isohak (Gambar) mendedahkan kerugian Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) akibat perniagaan saham.

Selain itu turut mendakwa kerajaan negeri memberi kontrak bagi menyediakan draf Kanun Jenayah Syariah II kepada seorang peguam dari Terengganu.

Ketika itu tiga Adun Semangat 46 berada dalam saf Exco kerajaan negeri. Rozali sebagai Timbalan Menteri Besar II. Manakala Adun Gual Periuk, Nik Mustapha Nik Loding dan Adun Jelawat, Daud Jaafar sebagai anggota Exco.

Exco Semangat 46 juga enggan meletak jawatan ketika itu. Krisisnya jauh lebih hangat. Situasi yang berlaku tersebut boleh dianggap hampir sama, namun tidak serupa dengan kondisi sekarang.

PAS sejak awal sudah mengesan Tengku Razaleigh Hamzah mahu menyertai semula Umno selepas gagal mengemudikan Semangat 46.

Biarpun dinafi berkali-kali pemimpin Semangat 46, namun Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah mengesan bayangannya.

Maka tidak hairanlah bekas menteri besar itu menyifatkan Semangat 46 sudah berkubur. Namun penafian Semangat 46 tidak ke mana-mana. Ku Li akhirnya menganjur sambutan ulangtahun ke-50 penyatuan bangsa Melayu pada 11 Mei 1996.

“Ramai yang terkejut mendengar pengumuman saya untuk bekerjasama dengan kerajaan dan usaha penyatuan kita dengan Umno sekarang. Ada yang bertanya, apakah kita sudah belot dalam perjuangan.

“Atau apakah kita sebahagian daripada soldadu lelah yang tidak upaya bertempur lagi. Tidak sama sekali. Semuanya tidak benar sama sekali. Apatah lagi kita pernah berkata, kita sanggup bertempur seribu tahun lagi dan kita sanggup mati daripada menyerah kalah dan berputih mata,” ujar Ku Li pada sambutan itu.

Sekarang apa yang berlaku. Ku Li tidak dapat menyangkal lagi, sejarah membuktikan beliau sudah lama menyerah kalah.  

Selepas Semangat 46 dibubar akhirnya tiga Exco parti terbabit meletak jawatan. Hari ini situasinya jauh berbeza. PAS tidak dibubar untuk membolehkan anggota Exconya meletak jawatan di Selangor selepas hubungan politik terbatal.

Adun PAS juga tidak dedah rahsia kerajaan Selangor. Mursyidul Am PAS Tuan Guru Hashim Jasin menegaskan PAS sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk manfaat Islam.

Pintu rundingan masih lagi terbuka biarpun berada di luar tahaluf siyasi. Seni politik masih luas. PAS sejak 2008 mahu mempertahan hayat kerajaan Selangor biar pun PAN, DAP dan Umno semakin panas punggung.

Malah Penyelia Dun dan Parlimen serta ahli majlis pihak berkuasa tempatan di Kelantan dari PKR masih lagi kekal. Tiada keributan seperti di Selangor. – HARAKAHDAILY 15/5/2017
 
*** ikuti analisis lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang.