Noh wajar ketengah konsep seni bina Islam

SEPATUTNYA saya tarik perhatian kerajaan yang diperintah PAS dan kerajaan Selangor yang PAS sebahagian dari kerajaan apatah lagi Datuk Iskandar Samad, Naib Presiden PAS jadi exco perumahannya.
      
Iaitu meletakkan konsep seni bina Islam dalam perancangan pembangunan perumahan, taman perumahan dan perancangan Bandar.
     
Biar semua perancangan itu dengan kehidupan seharian masyarakat Islam yang tidak dirasakan bermasalah bagi sekalian komuniti masyarakat majmuk.
     
Justeru Tan Sri Noh Omar adalah menteri pusat yang menjaga dasar perumahan dan pembangunan bandar seluruhnya, adalah wajar dia memikirkannya sebelum mengambil kuasa pemerintahan bila-bila masa saja selepas ini.
      
Jangan tunggu PAS berkuasa baru difikirkan. Siapa jua yang berkuasa patut melaksanakannya.
      
Konsep seni bina Islam itu bukanlah pada kubah bangunannya, tetapi susunan aturnya selesa  untuk umat beribadat dan dapat menghindarkan dosa.
      
Saya terfikir mengenainya kerana semasa berada di Australia dapurnya sebelah ruang tamu, suri rumah masak depan tamu yang bukan muhrim. Manakala selama 11 hari saya jadi tetamu satu keluarga Turki di Istanbul, apartmennya yang ada satu pintu saja, saya jarang jumpa isteri dan anak perempuannya, orang laki-laki yang datang ke rumah orang perempuan tak nampak,  dan orang perempuan yang datang, orang laki-laki tak jumpa.
       
Pintunya satu tetapi orang dalam rumah itu terhindar dari dosa yang tak sengaja. Ia justeru susun ruang dan biliknya yang sempurna.
      
Dengan pengalaman di Ausralia dan Turki itu, indahnya jika masyarakat Islam mendiami rumah yang selesa dalam kehidupan sehariannya.
     
Rumah selesa Islam itu dapurnya mesti tidak mendedahkan pemasak yang jantina  tidak terdedah kepada tetamu dari lain jantina, mestilah rumah yang satu pintu dan satu bilik air tidak mudah bertembung dengan yang tidak sejantina yang bukan keluarganya.
      
Sebagai yang sudah difahami ada bilik tidur bagi bapa/emak, bilik asing bagi anak laki-laki dan anak perempuan. Ada bilik bagi tetamu lengkap dengan bilik air.
      
Dipastikan kiblat tepat ke dinding, tidak menyerong ke kanan atau ke kiri. Pembuat pelan mesti tahu kiblat yang tepat supaya jimat ruang berjemaah dan supaya tetamu solat tepat arah kiblat. Ada bilik air yang tetamu tidak pergi ke dapur dan terserempak orang bukan muhrim tak menutup aurat dalam rumah.
       
Tandas tidak mengadap dan membelakang kiblat. Ia disusun kemudahan orang mencangkung semasa buang air, demi kesihatan sebelah kaki tinggi dari yang lain. Dapatkan nasihat ahli fekah kaki mana yang mesti tinggi.

Advertisement

Bagi rumah mewah yang tak mahu jenazah dimandikan di masjid sediakan ruang selesa untuk mandi mayat dan mengkafannya.
       
Perancang bandar dan taman perumahan rancang tong sampah letak di belakang rumah, ada lorong mudah bagi lori pengangkut sampah. Ada yang kata tong sampah di depan rumah adalah cara Yahudi. Cara Islam elok di belakang.
      
Biar taman perumahan baru dan perancang bandar yang baru dirancang lorong sesuai dengan kiblat supaya setiap rumah tepat kiblat ke dinding.
      
Sekalipun Mekah dan Madinah tidak ikut susun itu, yang baru dirancang di mana saja biarlah ikut konsep selesa dengan Islam dan bukan Islam tidak tersinggung.
     
Biar sekalian jurubina tahu peraturan itu dan jadikan ia syarat lulus bagi layak pakai.
     
Apabila konsep seni bina ini dapat dilaksana, rumah masing-masing membawa barakah bagi mencapai matlamat masyarakat matang dan sejahera. – HARAKAHDAILY 15/5/2017