Orang di hadapan kita kritik berapi-api

KALAU kita bersikap keras tak bertempat, manusia akan jauh hati dari kita.

Advertisement

Hingus di pipi budak, memadai lap dengan tisu. Kereta yang kemek bekas accident, kalau lap dengan tisu juga, maka habis 40 kotak tisu pun tak berkesan apa-apa. Ia mesti diketuk dengan kuat. Tuan kereta jangan marah bila pomen ketuk kuat-kuat body kereta kerana memang itu caranya.

Ayam yang curi padi di jemuran, memadai dihalau saja. Jangan pukul, itu zalim namanya. Tapi kalau yang datang bertandang depan rumah kita adalah seekor ular tedung selar, maka wajib dipukul. Memukul ketika ini adalah cara yang paling berhikmah. Jangan buat olok-olok nak halau, nanti kesudahannya kita yang masuk hospital.

Satu pagi Umar Abdul Aziz masuk ke dalam masjid nak solat subuh. Dalam gelap kakinya tersepak seseorang yang sedang tidur dalam masjid. Kawan tu terkejut lalu menyergah, “awak gila ke?” Jawab Umar Abdul Aziz, “Tak! saya tak gila.” Pengiring Umar Abdul Aziz minta izin nak pukul hamba Allah itu. Tapi kata Umar, “Kenapa nak pukul dia? Dia cuma tanya samaada aku gila atau tidak. Aku dah jawab, tak gila! Selesai, tak ada apa-apa masalah.”

Ada ketikanya orang di hadapan kita bercakap mengkritik berapi-api. Akhirnya selepas habis bercakap, dia tenang dan puas hati walaupun kita belum jawab sepatah pun kritikan dia. Sebenarnya dia cuma nak kita dengar luahan rasa hatinya sahaja. Seorang pemimpin ada ketikanya hanya perlu menjadi seorang pendengar yang baik. Bukan semua perkara kita mampu jawab dan selesaikan. Kalau ketika dia tengah berapi-api, kita pun jawab dengan berapi juga, maka api bertemu api akan menyebabkan kebakaran besar!

Teringat ketika satu Muktamar PAS di Shah Alam, wakil dari Dewan Pemuda yang sekarang dah jadi Pemuda PAN berucap berapi-api sambil tangannya menghentak-hentak rostrum. Selesai dia berucap, Pengerusi Tetap PAS, Datuk Abu Kasim tegur dengan lembut. “Orang muda… bukan semua masalah dunia ini boleh selesai dengan peperangan. Ada ketikanya dengan sedikit senyuman sudah mampu menyelesaikan masalah.” – HARAKAHDAILY 16/5/2017