Perutusan MB Kelantan sempena Hari Guru 2017

ALLAH SWT Berfirman:
 
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آَمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Advertisement

Maksudnya: Allah mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang memiliki ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) akan darjat ketinggian. Dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan. (Al-Mujadalah:11)
 
Islam sangat mementingkan pencarian ilmu dan membasmi kejahilan. Oleh sebab itu, kedudukan seseorang guru amat tinggi di sisi Islam. Guru adalah lambang ketamadunan sesebuah bangsa dan agenda pendidikan membangun ummah adalah tiang serinya. Kerajaan Negeri Kelantan dengan dasar Merakyatkan Membangun Bersama Islam telah mengangkat agenda pendidikan sebagai suatu agenda terpenting dan memperuntukkan pada setiap tahun perbelanjaan yang sangat besar bagi tujuan ini. Institusi pendidikan pondok, tahfiz, sekolah-sekolah agama arab di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan sentiasa diberi perhatian serius sebagai pusat pembangunan insani terpenting di Kelantan.
 
Aspek-aspek pendidikan rohani dan jasmani berteraskan syariat perlu diasimilasikan dengan baik bagi melahirkan para pelajar berakhlak mulia dan mampu menjadi agen perubah serta penegak kebenaran dalam masyarakat. Para pelajar pada hari ini mesti dibekalkan dengan silibus tarbiyah jiwa yang sempurna dan ia perlu diterapkan dalam silibus pendidikan di negara kita. Kita yakin apabila penerapan pendidikan tarbawi ini bergerak secara syumul di sekolah dan di institusi pengajian tinggi, maka mutu akhlak dan disiplin dapat kita tingkatkan.
 
Guru bukan sahaja pendidik malah sebagai murabbi yang dekat di hati para pelajar. Guru merupakan ibu bapa kedua yang sentiasa mencurah keringat demi anak bangsa. Sudah pasti masyarakat berilmu dan berpengetahuan tinggi sentiasa dapat dilahirkan melalui bimbingan guru. Sempena Sambutan Hari Guru pada hari ini iaitu 16 Mei 2017 saya ucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada semua warga pendidik. Segala ilmu yang dicurah dan didikan akhlak yang telah diterapkan kepada pelajar akan menjadi amal soleh yang berpanjangan sebagai bekalan menemui Allah SWT kelak.
 
USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
(DATO’ BENTARA KANAN)
MENTERI BESAR KELANTAN
19 Syaaban 1438H / 16 Mei 2017M – HARAKAHDAILY 16/5/2017