PAS Kelantan tidak paksa ahli PKR letak jawatan

KERAJAAN Kelantan menyerahkan pada ahli-ahli PKR sendiri untuk membuat keputusan sama ada untuk kekal sebagai pimpinan lantikan politik atau sebaliknya.

Advertisement

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri tidak boleh menghalang mereka.

“Bagaimanapun kalau ingin kekal dengan jawatan itu lagi baik dan kami mengalu-alukannya,” ujarnya.

Sambungnya, kerajaan negeri tidak terjejas sekiranya mereka lepaskan jawatan itu.

Cuma katanya, mereka tidak boleh berkhidmat lagi pada rakyat di peringkat kerajaan.

Amar  yang juga Naib Presiden PAS berkata, dianggarkan 200 orang lantikan politik anggota parti itu.

Menurutnya, seandainya mereka ingin kekalkan jawatan itu lagi baik sekurang-kurangnya hingga tahun ini atau sehingga PRU 14.

Tambahnya, perkara itu turut dibincangkan pada mesyuarat exco yang berlangsung di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Amar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, selepas mesyuarat exco di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Semalam Azizah mengarahkan semua lantikan politik anggota partinya melepaskan jawatan masing-masing berkuatkuasa serta-merta.

“Saya tak pasti kenapa kenyataan itu dibuat, tapi… itu hak dia dan saya tidak boleh komen apa-apa.

“Cuma pendirian kita, kita tidak rasa sebarang keperluan untuk mengarahkan ahli-ahli PKR melepaskan jawatan mereka,” ujarnya.

Amar berkata, setakat ini pihaknya belum  menerima sebarang surat perletakan jawatan, lagipun kenyataan Azizah  baru semalam dibuat.

Berkaitan perkembangan di Selangor, Amar memberitahu exco di kalangan ahli PAS masih kekal di negeri berkenaan.

Tambahnya, kecuali ada arahan terbaru dibuat atau mereka dipecat.

“Buat masa sekarang kita kekal dengan apa yang ada dahulu dan tidak berhasrat untuk lepas jawatan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/5/2017