Boleh kami cari rezeki di Ladang Rakyat

KETIKA suasana politik tertumpu ke Selangor ekoran terbatal tahaluf siyasi antara PAS dan PKR, namun bagi penduduk di hulu Kelantan situasi itu tidak menjadi perhitungan mereka.

Advertisement

Kerja harian di ladang, kebun dan di kampung tetap mereka teruskan.

Begitu juga bagi peneroka di Paloh 3, Gua Musang tetap meneruskan rutin harian bagi menyara kehidupan keluarga.

Mereka diangkut ke ladang milik Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat (PPLR) dengan Hilux bagi memulakan kerja jam 8 pagi.

Ladang Rakyat Paloh 4 yang diurus Ladang Rakyat Project Management Sdn Bhd, sejak tiga tahun lepas sudah mengeluarkan hasilnya.

Pokok sawit yang ditanam pada 2010 kini berusia tujuh tahun. Ia turut dimanfaat penduduk berdekatan bagi mencari sesuap rezeki. Ada juga pekerja dari Indonesia menumpang mencari rezeki di situ.

Biarpun ketika awal penubuhannya PPLR dikecam pelbagai pihak termasuk pembangkang kononnya mengambil tanah yang pernah diusahakan rakyat, namun penduduk setempat menikmati hasilnya.

Selain mendapat dividen bulanan sebanyak RM200 sebulan bagi 4,853 peserta yang dipilih, penduduk di Paloh 3 pula mendapat peluang pekerjaan.

Mahasan Abu Bakar, 64 berkata, beliau menyokong kewujudan ladang yang diusahakan PPLR kerana memberi manfaat kepada penduduk.

“Saya sudah setahun bekerja di ladang ini. Sebelum ini melakukan pelbagai pekerjaan mencari rezeki selepas kebun sawit saya ditanam semula.

“Sudah lima tahun kebun sawit saya ditanam semula, namun belum lagi mendapat hasil. Jadi saya terpaksa mencari pekerjaan sampingan lain,” katanya ketika ditemui di Gua Musang semalam.

Beliau merupakan peneroka Kesedar di Paloh 3. Mahasan dan 14 lagi rakannya bekerja di ladang milik Ladang Rakyat mulai jam 8 pagi sehingga 1 tengahari.

Setiap bulan mereka mendapat pendapatan antara RM700 hingga RM800.

LR 3Mazlina Abdullah, 40 juga bersyukur kerana Ladang Rakyat membangunkan ladang tidak jauh daripada rumahnya.

Beliau merupakan generasi kedua peneroka Kesedar Paloh 3, kini menumpang di rumah ibunya. Beliau juga bekerja di Ladang Rakyat Paloh 4 bagi menampung pendapatan keluarga.

Suaminya Abdul Aziz Hassan bekerja di kedai peralatan pembinaan.

“Dengan ada ladang milik Ladang Rakyat di sini bolehlah kami mencari rezeki tanpa perlu pergi bekerja di tempat yang jauh dari rumah,” ujarnya.

Ladang itu terletak kira-kira 2.5 km dari jalan utama ke Felda Aring. Pokok sawit yang ditanam semakin membesar dan subur.

Laluan ke ladang tidak berselut kerana ditambun batu kelikir. Pengurus Pembangunan Projek PPLR, Faizeli Abdullah dapat memandu Hilux agak laju.

Kunjungan kami ke ladang itu turut disertai Pengurus Audit Dalam, Naziran dan Integiri PPLR, Majdi Mohamad. Terletak kira-kira 150 km dari Kota Bharu.

Basri Alias, juruvideo Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri turut teruja melihat pembangunan ladang itu, biar pun pada awalnya dipertikai pihak tertentu.

Pengurus Ladang Rakyat Paloh 4, Mahasan Yusof memberi penerangan mengenai pembangunan ladang tersebut. Pejabatnya berada di kedudukan agak tinggi, namun masih boleh didaki Myvi.

Perjalanan pulang Hilux dipacu Wan Mohd Aizuddin Wan Yusof menuruni jalan berbukit sebelum menjejaki jalan raya Gua Musang-Kuala Krai. – HARAKAHDAILY 18/5/2017
 
*** Ikuti fokus khas pembangunan Ladang Rakyat dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang.

LR 2

LR 4