Kelantan syukur Presiden PAS makin pulih

PAS Kelantan melahirkan rasa syukur di atas kejayaan pembedahan jantung yang dijalankan ke atas Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Selasa lalu.

Advertisement

Timbalan Pesuruhjayanya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, setakat ini Tuan Guru Abdul Hadi dalam keadaan stabil.

“Malah bertambah baik setelah berlalu 24 jam pertama tempoh kritikal selepas pembedahan dijalankan.

“Setakat ini alhamdulillah stabil, cuma doktor minta Tuan Guru berehat dahulu untuk beberapa hari,” ujarnya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim semalam.

Semalam Setiausaha Politik Presiden, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu, Tuan Guru Abdul Abdul Hadi semakin ceria malah boleh menjamah makanan lembut.

Selasa lalu, Presiden PAS menjalani pembedahan menggantikan injap jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Mohd Amar yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, sehingga sekarang hanya keluarga terdekat sahaja dibenarkan melawat Presiden PAS. – HARAKAHDAILY 18/5/2017