PAS Terengganu sedia memimpin kerajaan negeri

PESURUHJAYA PAS Terengganu, Datuk Husain Awang berkata, jawatan adalah amanah yang dipikul dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah.

Advertisement

“Saya yang ambil alih (sesi 2017-2019) dalam keadaan PAS kukuh, kuat dan bersedia untuk memimpin kerajaan negeri selepas Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) nanti,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.6 di Batu 24, Kuala Berang, hari ini. Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat seluruh Terengganu khususnya di Hulu Terengganu supaya membuat perubahan pada PRU14 nanti.

“Marilah kita bersama-sama dengan beralih kepada PAS demi untuk membina sebuah kerajaan dan pemerintahan Islam yang terlaksana di dalamnya syariat dan nilai-nilai Islam sebagaimana yang terdapat dalam perlembagaan PAS,” ujarnya.

Tambahnya, PAS berjanji akan memerintah, mengurus dan mentadbir kerajaan dengan cara yang dianjur dan diajar oleh agama Allah SWT.

Katanya, perkara itui telah terbukti apabila PAS berjaya memerintah negeri itu pada PRU 1999 lalu.

“Perkara ini telah terbukti, PAS telah membuktikan keupayaannya pada pilihan raya tahun 1999, PAS telah menjadi kerajaan dan berjaya meminda undang-undang tubuh kerajaan Terengganu sehingga menjadikan Islam, al-Quran dan al-Hadis, ijmak ulama dan qias menjadi tonggak dan rujukan utama kepada kerajaan dan pemerintahan negeri yang tidak dibuat oleh mana-mana negeri di bawah Umno BN,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/5/2017